JERANTUT – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berusaha meningkatkan pengeluaran makanan daripada ladang bagi meringankan beban pengguna dan dalam usaha mengatasi beban kenaikan harga dan kartel.
Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Azulita Salim berkata pada masa ini pihak LPP melalui usahawan yang bernaung di bawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara telah pun memasarkan hasil daripada ladang kepada pengguna.
“Kita sedia maklum kenaikan harga sayur, ayam dan bahan mentah makanan lain berpunca daripada peningkatan harga baja dan racun, bagaimanapun program tanaman ladang termasuk ternakan di bawah LPP tetap diteruskan seperti sebelum ini di bawah pengusaha PPK tempat masing-masing.
“Usahawan LPP dan PPK diarahkan meningkatkan pengeluaran hasil ladang untuk pasaran tempatan bagi memenuhi permintaan pengguna di samping penambahan stok hasil berkenaan mampu mengurangkan tekanan kenaikan harga tersebut dan belanja pengguna,” katanya pada Program Khas Dapur Peladangnita ‘Moh Masak Weh’ anjuran LPP dan PPK Pahang di Dewan Majlis Daerah Jerantut di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengarah LPP Pahang, Dzulfadli Johan dan Pengerusi Peladangnita Pahang, Datuk Nazilah Abd. Latif.
Menurut Azulita, LPP akan terus menyokong aktiviti pemasaran yang dijalankan oleh Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai pelengkap yang membantu pengusaha PPK di semua tempat.
Selain FAMA katanya, pengusaha ladang LPP/PPK juga memasarkan hasil melalui Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pusat Pengedaran Peladang, Freshmart Peladang, Pusat Pengumpulan Hasil Peladang, pasar borong dan Pasar Tani semua tempat. -K! ONLINE