fbpx

Lambat naik, tapi Hazman al-Idrus tak mengalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK mahu mengalah dengan nasib karier nyanyian yang tidak seperti diharapkan sebelum ini, Hazman kini muncul dengan single terbaharu berjudul Aura.

HAZMAN al-Idrus enggan mengalah meskipun populariti belum menyinggah dalam diari hidupnya sebagai anak seni.

Mengimbau semula kariernya sebelum ini, sejak sembilan tahun lagi pelbagai percubaan dilakukan untuk menjual bakat nyanyian, namun entah di mana silapnya, impak yang diraih tidak seperti diharapkan.

Kini, Hazman kembali bersemangat untuk mengetengahkan semula kemampuan terpendam dengan melancarkan sebuah single baharu berjudul Aura.

Penyanyi yang pernah bernaung bawah label Suria Record Music selama lima tahun itu berkata, Aura merupakan ciptaan sendiri sepenuhnya dan disiapkan dalam tempoh sebulan sahaja.

“Banyak perkara baru dipelajari, bermula dari menulis lirik, mencipta melodi, proses rakaman lagu, penyusunan muzik dan vokal sehinggalah proses penerbitan single ini.

“Saya akui ini bukan perjalanan mudah, namun proses pembelajaran ini merupakan titik permulaan supaya lebih mahir pada masa akan datang,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Anak kelahiran Terengganu itu turut menyifatkan proses penghasilan Aura sebagai satu pengalaman baharu buat dirinya.

“Momen ini merupakan ilmu berharga buat saya. Bagi saya, semua penyanyi wajib tahu proses pembikinan lagu sendiri, bukan sekadar datang ke studio untuk rakaman dan tunggu lagu keluar.

“Jadi, saya sangat galakkan penyanyi generasi baharu merasai pengalaman sama untuk lebih menghargai setiap karya yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Berkongsi lanjut tentang kelahiran Aura, Hazman memberitahu terdapat kisah menarik ketika mendapatkan ilham menghasilkan muzik dan lirik lagu tersebut.

Jelas Hazman yang bernaung bawah label dan pengurusan sendiri, Hai Production, dia mendapat ilham lagu Aura ini tepat pukul 12 tengah malam di tepi sungai berhampiran rumah datuk saudara di Janda Baik, Pahang.

“Aura di sana pun lain macam, jadi setelah mendapat ilham mencipta melodi serta lirik itu saya pun terus simpan gitar dan dengan rasa bersemangat, sebab itu saya dapat idea untuk namakan lagu ini dengan judul Aura.

“Saya percaya Aura akan diterima ramai sebab lagu ini memang lain daripada lagu-lagu sedia ada di pasaran,” katanya yang berharap kemunculan semulanya akan diterima baik oleh semua.

Hazman sebelum ini pernah mewakili Malaysia untuk rancangan realiti nyanyian D’Academy Asia musim pertama di Indonesia pada 2015.

Aura kini boleh dimuat turun di iTunes Store dan boleh didengari di semua platform digital seperti Joox, Spotify, Apple Music, YouTube Music, KKBox, Deezer dan lain-lain lagi. Muzik video lirik rasmi juga boleh ditonton dalam saluran YouTube Hazman al-Idrus.

Lambat naik

Bercerita mengenai penerimaan ramai mengenai kemunculan semulanya, Hazman akur sekiranya momentumnya sedikit perlahan.

“Namun saya tetap percaya dan akan berbalik kepada rezeki Tuhan.

“Setiap orang mempunyai cita rasa sendiri dan jika mereka suka hasil kerja saya, itu satu rezeki besar untuk saya.

“Saya akan juga akan dengan apa cara sekalipun untuk menaikkan nama sendiri kecuali gosip atau kontroversi panas. Insya-Allah hasil kerja akan diterima ramai,” ujarnya yang mahu menjadi selebriti versatil.

Memegang prinsip ingin menjadi seorang artis versatil, Hazman mahu kariernya sebagai penyanyi, pelakon dan terbaharu pengacara bergerak seiring.

“Bagi saya, anak seni bidangnya tiada had. Saya mahu mencuba pelbagai cabang dalam bidang ini.

“Setakat ini semuanya berjalan lancar dan tidak bercanggah antara satu sama lain,” tuturnya lagi.

Dalam perkembangan lain, drama lakonan beliau yang terbaharu iaitu Kisah Cinta Kita terbitan A.Aida Production telah ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 bermula akhir November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI