PETALING JAYA – Hujan lebat antara faktor pencetus kejadian tanah runtuh di kawasan berisiko tinggi berikutan tekanan air di bawah tanah meningkat.
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaapar berkata, faktor kejadian tanah runtuh terbahagi kepada dua iaitu faktor penyebab dan faktor pencetus.
“Faktor penyebab berkait rapat dengan geologi iaitu jenis dan sifat-sifat bahan bumi melibatkan tanah dan batuan, manakala geomorfologi iaitu rupa bentuk dan juga proses-proses di permukaan bumi. Ia juga berkait rapat dengan topografi iaitu ketinggian dan kecerunan permukaan bumi.
“Sementara faktor pencetus utama tanah runtuh di negara ini adalah disebabkan hujan. Faktor lain termasuk gempa bumi dan banjir. Hujan yang masuk ke dalam tanah akan melonggarkan struktur tanah atau batu termasuk meningkatkan tekanan air dalam tanah.
“Seberapa cepat kejadian tanah runtuh akibat hujan bergantung kepada faktor-faktor penyebab sedia ada,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: 101 kediaman, jalan raya risiko tanah runtuh
Mengulas lanjut, tanda-tanda awal kejadian tanah runtuh adalah seperti jatuhan batu, retakan tanah, pokok menjadi senget dan ada air yang keluar dari tanah.
“Tanah runtuh ini boleh berlaku dengan pantas dalam cerun batuan, jadi penilaian terhadap cerun amat penting untuk mitigasi. Dalam cerun tanah pula, kejadian boleh berlaku secara lebih perlahan.
“Aktiviti manusia adakalanya membantu mempercepatkan kejadian tanah runtuh sebagai contoh kerja-kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi dan reka bentuk jurutera serta juga amalan kejuruteraan yang tidak baik,” jelasnya.-K! ONLINE