BEIJING – Seorang pelajar jurusan seni di China mencabar diri untuk hidup di Beijing selama tiga minggu tanpa membelanjakan satu sen pun sebagai sebahagian daripada projek universitinya, lapor portal berita Mothership semalam.
Zou Yaqi, 23, menjalankan eksperimen sosial itu yang bertujuan untuk mengkritik amalan kapitalisme dan kepenggunaan.
Dia berbuat demikian dengan menyamar sebagai seorang ‘mingyuan’ atau sosialit iaitu wanita yang berasal daripada keluarga kaya raya.
Dengan ‘bersembunyi’ di sebalik cincin berlian palsu, seluar rekaan pereka fesyen terkenal, beg tangan berjenama palsu dan gincu berwarna merah terang, Yaqi memulakan eksperimennya pada 1 Mei lepas.
Antara keistimewaan yang dinikmati gadis tersebut termasuk akses lounge VIP di lapangan terbang dan akses ke majlis khas jenama Louis Vuitton, hotel bertaraf lima bintang serta acara lelongan.
Dia juga berjaya memujuk seorang pekerja butik Gucci untuk memberikannya sebuah beg kertas jenama tersebut, yang kemudiannya menjadi ‘tiket’ kepadanya untuk memasuki butik-butik mewah lain serta mendapatkan layanan istimewa.
“Ia amat menarik untuk melihat bagaimana barangan mewah diberikan secara percuma kepada golongan yang mempunyai wang lebih daripada mencukupi,” katanya.
Pada penghujung eksperimen tersebut, Yaqi membentangkan hasil kajiannya beserta dengan video yang dirakam.
Projek tersebut menjadi tular di media sosial di China serta mencetuskan kontroversi dalam kalangan netizen yang menuduh Yaqi sebagai menipu demi mendapatkan makanan dan minuman percuma.
Gadis itu bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan menegaskan bahawa ia merupakan satu eksperimen sosial dan penyelidikan untuk memahami kehidupan seorang socialit. -Agensi