PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew yang kini sedang menjalankan misi kemanusiaan di Sao Paolo, Brazil meluahkan rasa sebak dan sayu dengan nasib seorang nenek yang menjaga cucu-cucunya dan menjadi gelandangan kerana kesempitan hidup.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Ebit berkata, walaupun di tengah kemajuan, bandar besar dan cantik itu masih ada insan-insan yang tertinggal.
“Bila tanya nama dan berbual-bual dengan anak-anak ini. Sama seperti anak kita di rumah. Mereka cuma anak-anak tapi nasib mereka tak sama dengan kita.
“Masa bawa sedikit hadiah dan belanja buat mereka. Seronok anak-anak ini. Waktu pagi sejuk, lena je sebahagian mereka tidur di dalam khemah-khemah kecil di tepi jalan.
“Selepas Subuh 3.30 pagi saya pusing lihat penuh khemah-khemah kecil disini. Terfikir lena selesa ke mereka tidur. Tapi itulah kehidupan sebahagian mereka. Ujian mereka dan anak-anak ini,” katanya.
Ebit turut menitipkan doa agar Allah membantu dan mempermudahkan hidup, dikabulkan cita-cita dan doa mereka. – K! ONLINE