Isu kenaikan harga ayam sampai kemuncaknya apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan pengimportan ayam untuk tempoh sementara.
Tujuannya untuk memastikan bekalan ayam di pasaran mencukupi dan seterusnya diharap dapat menstabilkan kembali harga ayam yang sangat tinggi ketika ini.
Ramai berasa lega dengan pengumuman itu termasuk pengusaha restoran dan kantin yang memerlukan banyak ayam untuk perniagaan mereka.
Bagaimanapun, kelegaan itu tidak bagi golongan penternak yang khuatir pengimportan ayam akan mengakibatkan lambakan ayam di pasaran.
Mereka berhujah kenaikan harga ayam bukanlah disebabkan oleh kekurangan bekalan, maka kemasukan ayam import bukan penyelesaian yang mutlak.
Mereka bimbang ayam import akan menyebabkan permintaan terhadap ayam tempatan menurun sekali gus menjejaskan industri itu.
Presiden Persekutuan Persatuan Penternak Malaysia, Tan Chee Hee ketika dihubungi Kosmo! beberapa hari lalu membangkitkan perkara sama.
Beliau mendakwa sebenarnya tidak berlaku kekurangan bekalan ayam dan kenaikan harga ayam di Malaysia adalah disebabkan faktor kos ternakan.
“Awak sebagai pengguna ada alami kesukaran beli ayam? Saya pasti ada sahaja ayam di kedai. Orang ramai pergi KFC pun sentiasa ada ayam.
“Kenaikan harga ayam bukan disebabkan tiada bekalan, tetapi kos makanan ayam yang diimport dari luar negara telah meningkat,” katanya.
Penternak ayam, Ahmad Amirul Asraf pula berkata, kenaikan harga ayam sebenarnya disebabkan orang tengah membeli ayam dengan kuantiti yang banyak.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pusat pemprosesan ayam terpaksa membeli ayam pada harga yang memberi keuntungan atas angin kepada orang tengah.
Kenyataan mereka ternyata berbeza dengan penelitian kerajaan yang mendapati negara berhadapan kekurangan bekalan ayam dalam pasaran secara purata 18 peratus.
Kekurangan bekalan ayam itu antara lain disebabkan peningkatan permintaan mendadak berikutan pembukaan semula sektor ekonomi bermula Oktober 2021.
Mengulas perbezaan itu, penjual ayam yang hanya mahu dikenali sebagai Fauzan, 38, berkata, walau apa teori dan pendapat yang penting adalah harga ayam dapat diturunkan.
Katanya, penurunan harga ayam bukan hanya bermanfaat dalam menjaga poket rakyat pada waktu-waktu sukar ketika ini, malah memanfaatkan peniaga runcit sepertinya.
“Jika harga terlalu mahal tidak ramai membeli ayam, maka jualan kami pun turut terjejas sedangkan untung kami hanya sekitar RM1 sekilo.
“Andai import dapat turunkan harga ayam teruskan, tetapi jangan pula sehingga menjejaskan penternak kita yang ada keluarga untuk disara,” katanya.
Fauzan berpendapat, kuantiti pengimportan ayam yang dibenarkan harus tertakluk kepada jumlah yang tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan sahaja.
“Pastikan ayam tempatan jalan dulu (terjual dahulu), kemudian ayam import baru adil. Lagipun saya percaya rakyat Malaysia lebih suka makan ayam tempatan,” katanya.