PETALING JAYA – Tahap kesuburan wanita akan mula berkurangan sekiranya mereka lewat berkahwin, sekali gus akan menjejaskan populasi penduduk negara ini.
Pakar Kesuburan dan Sakit Puan Metro IVF, Dr. Pravin Peraba berkata, semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin kurang tahap kesuburan mereka.
“Menurut kajian, wanita paling subur sekitar usia 25 tahun dan akan mula berkurangan selepas berusia 30 tahun ke atas, apatah lagi sekiranya mereka yang berusia 40 tahun ke atas.
“Jika jumlah wanita tidak berkahwin atau berkahwin lambat semakin bertambah, maka ia boleh menjejaskan populasi penduduk negara ini, namun saya percaya jumlah ini hanya melibatkan segolongan kecil,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Menurutnya, bagi wanita yang berkahwin lewat dan masih tidak mempunyai zuriat dalam tempoh enam bulan perkahwinan, mereka perlu berjumpa pakar kesihatan untuk melakukan pemeriksaan tahap kesuburan, seterusnya membantu mendapatkan anak.
“Kalau boleh carilah pasangan dan berkahwin pada usia 20-an bagi memastikan kesuburan pasangan tersebut berada di tahap tertinggi,” ujarnya.
Jabatan Perangkaan Malaysia dalam satu kenyatan baru-baru ini melaporkan, bilangan perkahwinan di negara ini menunjukkan penurunan sebanyak 9.4 peratus daripada 203,661 pada 2019 kepada 184,589 pada 2020.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, situasi itu disumbangkan oleh penurunan 1.8 peratus bilangan perkahwinan orang Islam iaitu 145,202 pada 2020 berbanding 147,847 pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan penurunan pada kadar yang lebih besar iaitu 29.4 peratus iaitu 39,387 pada 2020 berbanding 55,814 pada 2019.
“Pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memberi impak dalam statistik perkahwinan di Malaysia,” ujarnya.