PETALING JAYA – Tular satu video memaparkan sebuah kenderaan jenis Honda HR-V memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kemalangan dipercayai berlaku di sekitar Sungai Buloh, Sabtu lalu.
Menerusi satu hantaran di Facebook yang dikongsi Hasnul Haniff Harun, memaparkan kejadian kemalangan melibatkan dua kenderaan.
Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 17 saat itu memperlihatkan sebuah kereta Honda HR-V yang secara tiba-tiba menukar laluan dari lorong kanan ke lorong paling kiri sebelum susur keluar sehingga melanggar seorang penunggang motosikal.
Rata-rata orang ramai berang dengan tindakan pemandu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Gila punya kerja, dari lorong paling kanan nak masuk susur keluar,” kata Nazrul Izwan Ayob.
“Saya tidak tahulah geng bawak ‘kereta mewah’ ini hampir tiap hari atas jalan tengok perangai tidak enak dipandang,” jelas Mohd Razmir Mohamad Rani.
Sementara itu, Muhammad Aliff Mohd. Anuar berkata, kejadian seperti itu telah kerap kali berlaku di laluan tersebut
“Laluan ini memang banyak yang bawak kereta tiada lesen, daripada lorong paling kanan pancung masuk kiri terus,” ujarnya. – K! ONLINE