fbpx

Teruja naik belon udara panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEVRR di Semenyih, Selangor kini menyediakan aktiviti menaiki belon panas sebagai tarikan terbaharu.

SELEPAS namanya dipanggil oleh pengemudi belon udara panas, hati Chong Wee Foon, 37, mula berdebar-debar memikirkan apa yang akan dialaminya nanti.

Tanpa berfikir panjang, dia mula melangkah masuk ke dalam bakul yang menempatkan ruang penumpang belon udara panas dengan memanjat dari arah sisi.

Selepas dia bersama rakannya, Johnny Chee Fung Chuan, 27, dan seorang lagi penumpang sudah berada di dalam bakul tersebut, pengemudi kemudian menarik sebatang tombol besi agar nyalaan api pada gegelung pembakar menjadi semakin deras bagi menghasilkan udara panas untuk menaikkan belon udara berkenaan.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki belon udara panas. Sebelum ini, saya ada merancang untuk menaikinya ketika Fiesta Belon Udara Panas Putrajaya yang diadakan beberapa tahun lalu, tetapi tidak berjaya kerana terlalu ramai orang.

“Apabila saya dapat tahu di sini ada menawarkan aktiviti belon udara panas, saya terus datang kerana ingin merasai sendiri pengalaman menaikinya.

“Walaupun belon ini naik tidak begitu tinggi, tetapi ia sudah cukup untuk membuatkan saya berasa gayat. Tapi bila memikirkan pemandangan yang dapat dinikmati dari udara, ia sudah cukup untuk membuatkan saya lupa perasaan takut buat seketika,” katanya ketika ditemui di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation (SEVRR) di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

WEE FOON melupakan ketakutannya kala menikmati keindahan resort dan persekitaran dari ketinggian 300 meter di udara.

Pengemudi belon udara panas, Nordin Hussein, 67, menerangkan, tidak seperti kebiasaannya, aktiviti yang ditawarkan di situ adalah bersifat santai dengan belon akan dinaikkan pada ketinggian maksimum 300 meter sahaja.

Katanya, ia bagi memastikan tahap keselamatan pengunjung sentiasa pada tahap tertinggi selain memikirkan kemungkinan individu yang akan menaikinya terdiri daripada pelbagai lapisan usia.

“Disebabkan aktiviti menaiki belon udara panas yang diadakan di sini berkonsep santai, jadi kami mengehadkan tahap ketinggian belon supaya ia lebih selamat.

“Kami juga menetapkan aktiviti ini dibuka pada waktu awal pagi sahaja iaitu bermula pukul 7 hingga 10.30 pagi atas faktor keselamatan terutama berkaitan tiupan angin dan udara di kawasan sekitarnya,” katanya yang sudah berpengalaman lebih 25 tahun menjadi pengendali belon udara panas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEVRR, Datuk Stanley Chew berkata, aktiviti tersebut ditawarkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad sebagai salah satu daya tarikan baharu untuk pengunjung yang berkunjung ke resort tersebut.

Katanya, selain menginap dan menghayati kehijauan alam di Semenyih dan melakukan aktiviti lasak seperti menunggang ATV, berkayak, flying fox dan sukaneka bersama keluarga, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menaiki belon udara panas dengan kadar bayaran yang sangat munasabah.

“Di SEVRR, kami ingin pengunjung merasai kelainan dan mengutip sebanyak mungkin pengalaman berharga sepanjang mereka berada di sini.

“Aktiviti menaiki belon udara panas ini mungkin menjadi salah satu pengalaman yang menarik bagi mereka kerana ia tidak selalu ada dan jika ditawarkan pada mana-mana festival atau karnival berskala besar, mungkin bayarannya agak tinggi dan terpaksa menunggu giliran yang lama kerana ramai orang.

“Tetapi di sini, kami hanya mengenakan bayaran sekitar RM250 untuk tiga hingga empat orang dengan tempoh berada di udara sekitar 10 hingga 15 minit untuk menikmati pemandangan sekitar resort dan kawasan berhampiran,” katanya.

BELON udara panas yang ditawarkan tidak terbang terlalu tinggi kerana mengambil kira kemungkinan ia dinaiki pelbagai lapisan usia.

Menurut Stanley lagi, bagi mereka yang mengambil pakej penginapan di resort itu pula, kadar bayaran bagi bilik dan aktiviti menaiki belon udara panas itu hanyalah RM450.

Tambahnya, sejak dibuka kepada pengunjung bermula awal November lalu, pihaknya turut menerima banyak pertanyaan daripada pengunjung dan orang awam yang berminat untuk merasai pengalaman menaikinya.

Justeru katanya, dia merancang untuk membuka sesi kedua aktiviti tersebut daripada hanya sesi pagi kepada tambahan sesi petang sekiranya bersesuaian dengan aspek keselamatan bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung menaikinya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI