fbpx

Rakyat Malaysia agresif bila di internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
AFIQ AL-HAFIZ MAT YUSOF, WARTAWAN EKSEKUTIF

SERING kali kita dengar ungkapan lidah itu lebih tajam daripada mata pedang yang menggambarkan sesuatu percakapan yang mampu mengguris perasaan.

Namun, di era teknologi mo­den ini, jari lebih banyak digunakan berbanding lidah bagi tujuan berkomunikasi.

Umum mengetahui bahawa lidah itu sukar dikawal, sekali perkataan itu keluar, ia tidak boleh ditarik balik. Ia juga mampu me­ninggalkan kesan yang pahit untuk ditelan.

Sudah menjadi lumrah manusia untuk berkomunikasi, namun apa yang lebih membimbangkan, penggunaan jari untuk berkomunikasi di media sosial adalah tanpa batasan.

Ia berselindung di sebalik individu tidak dikenali menyebabkan orang ramai lebih berani meluahkan perasaan yang terbuku di hati tanpa memikirkan impak kepada seseorang.

Ia terlalu mudah untuk me­nulis di media sosial mengalahkan lidah untuk berbicara. Juga terlalu mudah mengarang ayat berban­ding menyusun perkataan untuk berkata-kata.

Individu yang dilihat pendiam kini petah berkata-kata. Dunia di media sosial menjadi medan pertarungan berbalas kata tanpa sekatan dan batasan. Semakin ramai ‘pakar’ dilahirkan di sebalik papan kekunci.

Tanpa disedari, ramai individu yang terluka dan terkesan akibat ayat yang ditulis tanpa usul periksa, sehinggakan ada kenyataan yang mampu menjejaskan siasatan pihak berkuasa.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr​. Hanafiah Bashirun berkata, perkara ini tidak harus dijadikan satu budaya kerana akan memberi impak negatif kepada masyarakat umum.

“Kita seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan perkataan kerana boleh menya­kitkan hati seseorang selain me­rosakkan hubungan antara satu sama lain.

“Saya berharap perkara ini tidak dijadikan budaya kerana bimbang akan menjadi ikutan selain menyebarkan perkara yang tidak dipastikan. Seharus­nya, kita lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang perkataan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, berdasarkan penyelidikan oleh sebuah pusat kajian teknologi, Comparitech baru-baru ini mendapati Malaysia adalah negara kedua tertinggi mempunyai masalah buli siber di Asia selepas India.

Malaysia juga dilabelkan sebagai negara yang mempunyai masyarakat agresif dalam talian.

Dalam satu kajian lain, mengklasifikasikan Malaysia sebagai salah satu negara paling konservatif secara moral di dunia, namun masyarakat negara ini boleh menjadi pembuli yang kejam dalam alam siber.

Golongan ini digelar keyboard warrior, bersikap lantang ketika jari ‘mengetuk’ papan kekunci bagi menyampaikan pendapat dan hujah sehingga mengetepikan rasional serta adab yang membawa implikasi buruk.

Mereka turut mewujudkan beberapa istilah seperti ‘tentera bawang’ yang kononnya untuk memperjuangkan perkara yang mereka anggap betul, sedangkan tindakan itu sendiri tidak mencerminkan situasi sebenar.

Masyarakat juga harus faham, buli siber adalah satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran atau perkongsian kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya.

Bijaklah menulis atau berkata-kata kerana setiap perkataan yang keluar sukar untuk ditarik semula. Ibarat terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI