Petang Sabtu lalu, Gunung Berapi Semeru yang terletak di Lumajang, Jawa Barat, Indonesia meletus dengan memuntahkan debu gunung berapi yang menjulang tinggi ke udara.
Akibatnya, ribuan penduduk yang tinggal di sekeliling gunung tersebut terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat. Senario itu mungkin sudah terbiasa bagi rakyat Indonesia yang mempunyai 127 gunung berapi aktif. Selain gunung berapi, negara jiran kita itu juga sudah terbiasa dengan gempa bumi.
Bagaimanapun, kita bernasib baik kerana kejadian seumpama itu tidak berlaku di negara ini selain tidak terdedah kepada kejadian bencana besar seperti yang sering berlaku di negara jiran tetangga kita. Pun begitu, kita tidak boleh selesa dengan keadaan itu.
Ini kerana, kita masih berhadapan dengan bencana lain seperti banjir, tanah runtuh, aliran puing atau ribut yang sebenarnya turut boleh mengorbankan nyawa.
Kejadian banjir besar pada 2014 misalnya, berlaku dalam keadaan tidak disangka-sangka. Banjir besar yang melibatkan dua negeri iaitu Kelantan dan Pahang ketika itu telah menyebabkan lebih 300,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke tempat yang selamat.
Begitu juga dengan kejadian aliran puing di kaki Gunung Jerai pada Ogos lalu, selain kejadian tanah runtuh yang berlaku secara tiba-tiba di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands Khamis lepas. Kedua-dua kejadian itu meragut banyak nyawa.
Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika musim tengkujuh belum reda ini pula, kejadian banjir, tanah runtuh, ribut dan pelbagai lagi boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa sebarang amaran.
Selain bencana alam, kita juga kini sedang berdepan dengan kemungkinan kes pandemik Covid-19 akan kembali meningkat. Lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu Omicron yang didakwa dapat merebak dengan lebih cepat.
Di Eropah ketika ini, kes Covid-19 kembali melonjak kepada angka yang menakutkan dan tidak mustahil turut berlaku di Malaysia jika masyarakat terus alpa terhadap usaha mencegah penyebaran wabak itu.
Apa yang ingin ditekankan di sini ialah, kita sebenarnya telah melalui pelbagai musibah sama ada bencana alam mahupun wabak penyakit. Jadi apa yang kita lalui itu seharusnya menjadikan kita lebih bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.
Memang benar, tiada siapa yang mampu mengetahui bila dan di mana berlaku bencana, namun sekurang-kurangnya kita masih boleh mengelak daripada pergi ke tempat-tempat yang berisiko kepada berlaku musibah.
Seboleh-bolehnya elakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang berisiko untuk berlakunya bencana ketika keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.
Begitulah juga halnya dengan pandemik Covid-19 yang masih menghantui seluruh rakyat ketika ini.
Kelonggaran yang diberikan pihak berkuasa untuk kita bebas ke sana dan ke sini tidak seharusnya disalah guna sehingga melalaikan kita dalam mencegah virus tersebut daripada terus merebak.-K! ONLINE