fbpx

Mungkin saya tak bernasib baik – Amerul Affendi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AMERUL AFFENDI

ATAS alasan kesihatan dan kebenaran pakar perubatan, pelakon Amerul Affendi dibenarkan menangguhkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19.

Pemilik nama sebenar Mohd. Amerul Affendi Mohd Mawardi, 35, itu berkata, dia sebenarnya mempunyai masalah ekzema dan asma sejak kecil. Bagaimanapun penyakit yang pulih sewaktu usianya remaja itu kembali menjadi semakin kronik ketika ini.

“Mungkin saya antara penerima vaksin yang tidak bernasib baik kerana penyakit lama iaitu masalah asma serta timbul ruam di serata badan datang selepas ambil dos pertama pada Julai lalu.

“Memang masa kecil saya mempunyai masalah ini tetapi sekitar umur 14 tahun kedua-dua gejala ini tidak lagi muncul sampailah beberapa bulan lalu.

“Selain lelah, saya perasan tidak lagi boleh mengambil makanan laut yang mengakibatkan keadaan ekzema saya bertambah teruk sedangkan sebelum ini tiada masalah langsung.

“Buat masa ini saya masih bawah pemantauan pakar memandangkan ini kes terpencil sebelum saya dibenarkan mengambil dos kedua atau perlu tukar vaksin lain,” katanya ketika sesi wawancara drama bersiri Jangan Ganggu Jodohku, baru-baru ini.

Menerusi drama bersiri siaran Astro Ria yang bakal bermula 29 November ini, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2019 itu menggalas watak jin bernama Abu.

Semakin pulih

Di sebalik kisah vaksin dos kedua dan naskhah baharunya, ada kisah yang harus Amerul perjelaskan.

Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir dan kerja penggambaran disambung semula, tempat Amerul dalam Jangan Ganggu Jodohku sebenarnya terpaksa digantikan oleh Aloy Paradoks berikutan masalah kesihatannya.

“Keadaan tubuh saya yang ketika itu agak teruk menyukarkan saya kembali bekerja. Saya hanya sempat berlakon untuk 10 episod, manakala bakinya diambil alih Aloy.

“Alhamdulillah, keadaan saya semakin pulih, malah saya kini sudah boleh menerima tawaran berlakon dengan mana-mana produksi selepas mendapat surat kebenaran atas sokongan doktor daripada hospital kerajaan.

“Surat pelepasan dari Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional) memaklumkan mengenai masalah yang belum membolehkan saya menerima vaksin kedua atas faktor kesihatan.

“Jadi saya boleh terbabit dalam projek penerbitan baharu biarpun belum lengkap vaksin Covid-19. Apa pun saya akur dan sentiasa positif menerima ujian Allah ini,” katanya lagi.

Selain Amerul dan Aloy, drama bersiri 24 episod arahan Jamal Khan tersebut turut membariskan Shaza Bae, Yusof Bahrin, Shah Iskandar, Azizah Mahzan, Sabbi Sadhi, Sherry Ibrahim, Hasnul Rahmat dan Salina Saibi.

Karakter Abu

Menyentuh mengenai wataknya, Amerul mengakui, sisi karakter Abu selain jalan cerita yang memikat menarik minatnya untuk menerima tawaran biarpun harus tidak selesa memakai kostum sehingga berjam-jam.

“Bagi saya watak Abu menyeronokkan dan unik. Cuma saya agak ralat tidak mampu menghabiskan tanggungjawab hingga selesai tetapi saya tahu, Aloy dapat melaksanakan amanah ini dengan baik.

“Soal sensitiviti bawa watak jin pula, selagi watak itu memberi pengajaran dan manfaat, saya tiada hal. Lagipun kisah ini sekadar fiksyen,” katanya lagi.

Selain aktif berlakon, aktor berkaliber itu turut mengusahakan ladang penternakan dan pertanian sebagai mata pencarian utama.

Terbaru, filem lakonannya, Prebet Sapu atau judul bahasa Inggeris, Hail, Driver! turut dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat, tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI