PUTRAJAYA – Lori yang di bawa mampu mengisi tiga tan sisa sampah namun, pemandunya memilih untuk melupuskan sampah sedikit demi sedikit bagi mengelak dikesan penguat kuasa.
Itu tindakan licik seorang pemandu lori yang dikesan melonggokkan sisa sampah pepejal di Jalan Kubur, Taman Sri Murni, Kepong, semalam.
Kegiatan itu bagaimanapun berjaya dihidu sepasukan penguatkuasa SWCorp Wilayah Persekutuan sebelum pemandu dan lorinya ditahan untuk siasatan.
Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Ummi Kalthum Binti Shuib berkata, ketika diserbu, pemandu lori jenis Isuzu itu sedang melonggokkan sisa pepejal terkawal di lokasi yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata, siasatan mendapati, lori itu sebenarnya boleh membawa tiga tan sisa, namun pembuangan dibuat sedikit demi sedikit bagi mengkaburi mata pihak berkuasa.
“Kami juga mendapati, kawasan itu dikenali sebagai antara ‘hotspot’ pembuangan sampah haram di Kuala Lumpur sejak tahun 2019
“Beberapa lokasi pembuangan sampah haram itu telah ditutup malah, rondaan berkala akan dilaksanakan oleh SWCorp,” katanya menerusi kenyataan semalam. – K! ONLINE.