LIVERPOOL – Meskipun sudah mara ke peringkat kalah mati saingan Liga Juara-Juara musim ini, namun Liverpool tetap mengambil serius aksi terakhir Kumpulan B menentang AC Milan di Stadium San Siro awal pagi esok.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memberi bayangan tetap mahu menyenaraikan beberapa pemain utama dalam kesebelasan utama seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane seperti dilakukannya ketika menang 2-0 ke atas Porto bulan lalu.
“Saya masih belum membuat keputusan tetapi saya seorang yang optimis dan berharap mahu turunkan skuad terbaik untuk setiap perlawanan. Kita tunggu dan lihat bagaimana nanti.
“Barisan terbaik membolehkan pasukan anda memenangi perlawanan bola sepak. Namun, kami juga memerlukan kestabilan dalam pasukan,” katanya.
Pengendali dari Jerman itu tidak rela The Reds dimalukan Milan jika menurunkan ramai pemain muda beraksi di pentas tinggi seperti Liga Juara-Juara.
Bagi Klopp, aksi menentang Milan adalah platform terbaik buat para pemainnya kembali mendapatkan rentak selepas mengharapkan jaringan lewat permainan daripada Divock Origi untuk menewaskan Wolverhampton Wanderers.
Dalam masa sama, Liverpool tentu mahu mengekalkan rekod bersih mereka dengan memburu kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Juara-Juara dan jika berjaya, ia secara tidak langsung menyingkirkan Milan untuk saingan kalah mati. – AGENSI