MANCHESTER – Pengendali baharu Manchester United, Ralf Rangnick memulakan era kepimpinannya dengan langkah kanan selepas melakar kemenangan berharga 1-0 ke atas Crystal Palace pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin.
Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, The Red Devils dilihat tidak menghadapi masalah untuk mengutip tiga mata penuh walaupun cuma meraih gol tunggal melalui pemain tengah, Fred menerusi rembatan luar kotak penalti pada minit ke-77.
Rangnick menjelaskan, rahsia ‘ramuannya’ mampu meraih kemenangan itu adalah disebabkan formasi unik 4-2-2-2 yang diterapkan bagi memastikan keseimbangan dalam kesebelasan utama sehingga memberi kesukaran kepada pasukan lawan melakukan asakan.
“Secara keseluruhan, saya anggap kami meraih keputusan yang cukup hebat dengan pemain memberikan komitmen penuh sejurus wisel permulaan ditiupkan. Kami cuma tidak bernasib baik apabila gagal menjaringkan gol pada babak pertama.
“Namun, pasukan menunjukkan persembahan yang lebih berbeza di separuh masa kedua dalam melakukan setiap hantaran sehingga berjaya mendominasi sepenuhnya perlawanan. Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini.
“Mengenai taktikal, apa yang cuba saya terapkan adalah penguasaan bola dan pemain faham dengan falsafah formasi 4-2-2-2. Anda boleh lihat Fred dan Scott McTominay lebih selesa di atas padang.
“Bruno Fernandes dan Jadon Sancho pula di bahagian kreatif, manakala Marcus Rashford serta Cristiano Ronaldo memimpin jentera serangan. Saya anggap ini adalah resepi pasukan dapat mempamerkan aksi seimbang baik pertahanan mahupun serangan,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan United melonjak ke tangga keenam EPL, malah masih belum tewas dalam empat perlawanan terakhir sejak dimalukan 1-4 oleh Watford pada 20 November lalu. – AGENSI