PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah untuk menangani isu kenaikan harga barang berkuat kuasa hari ini.
Difahamkan, SHMKM dijalankan sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan semasa dalam memastikan keberadaan bekalan di pasaran dan akan mula berkuat kuasa mulai hari ini hingga 31 Disember tahun ini.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, skim kawalan harga itu melibatkan barangan keperluan tertentu seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran.
“Barangan keperluan yang akan diperiksa adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam mengikut gred, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import dan timun.
“Senarai barangan akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian mengikut situasi semasa pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Azman memberi amaran keras terhadap pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual barangan yang gagal untuk mematuhi skim kawalan harga makanan terbabit.
“Saya juga ingin memaklumkan bahawa pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di premis perniagaan yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika,” ujarnya.
Tambah beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Pengguna dinasihatkan untuk menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui saluran media arus perdana atau media sosial supaya tindakan segera dapat diambil.
“Aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di nombor 019-279 4317, pusat panggilan KPDNHEP di talian 1 800 886 800 atau emelkan ke [email protected],” ujarnya. – K! ONLINE.