PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah merujuk isu babak romantik dua lelaki dalam sebuah siri drama tempatan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), hari ini.
Jakim menerusi kenyatan akhbar hari ini berkata, tindakan itu dibuat susulan arahan dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad semalam.
“Jakim amat memandang serius isu seperti ini dan sebarang isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat keluarga Malaysia khususnya umat Islam.
“Jakim juga berharap supaya pihak-pihak terbabit sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini. Janganlah bertindak di luar batas dan nilai ketimuran yang sejak sekian lama dibudayakan dengan aman dan harmoni,” katanya.
Katanya, Jakim juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.
Sementara itu, Idris menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi berkata, beliau berterima kasih kepada Jakim atas tindakan pantas itu.
“Saya perlu pastikan tanggungjawab kita bersama ini dapat menyekat segala aktiviti yang melanggar undang-undang negara dan yang bercanggah dengan perintah agama,” katanya.
Baru-baru ini, media sosial hangat memperkatakan mengenai penghasilan sebuah siri drama bertemakan kehidupan gay yang melibatkan pelakon tempatan. – K! ONLINE