fbpx

Gunung Semeru meletus lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Letusan Gunung Semeru menghamburkan abu dan awan panas ke kawasan sekitar. – Istimewa

JAKARTA –  Gunung Semeru di Indonesia menghamburkan lebih banyak abu semalam sekali gus memaksa pasukan penyelamat menangguhkan operasi mencari mangsa yang masih hidup, lapor saluran berita CNA.

Gunung tertinggi di Pulau Jawa itu meletus pada Sabtu lepas dan memuntahkan abu vulkanik tinggi ke udara, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Sekurang-kurangya 15 orang terbunuh. Lebih 50 orang mengalami kecederaan akibat letusan itu dengan kebanyakan mangsa melecur.

“Semua pasukan penyelamat  berundur buat sementara waktu kerana terdapat letusan baharu yang boleh membahayakan mereka. 

“Operasi mencari akan diteruskan hari ini (semalam) apabila stuasi lebih selamat,” kata pekerja penyelamat, Rizal Purnama.

Gambar dari udara menunjukkan jalan-jalan dipenuhi abu gunung berapi dan lumpur yang menenggelamkan banyak kediaman dan kenderaan termasuk lori. 

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan bahawa seramai 27 orang masih hilang.

Dalam perkembangan berkaitan, hujan lebat dan angin kuat semalam menyebabkan usaha menyelamat ditangguhkan untuk sementara waktu.

Usaha  menyelamat juga semakin sukar kerana abu vulkanik yang mengeras selepas dilanda hujan.

“Usaha menyelamat amat sukar dan kami hanya  gunakan peralatan ringkas. Kemungkinan besar mayat yang belum ditemui tertimbus di bawah aliran lahar panas,” kata Rizal.

Anggota-anggota pasukan penyelamat lain pula membatu penduduk kampung membawa keluar barangan dan ternakan milik mereka dari kediaman masing seperti tilam, perabot dan kambing.

Aliran lahar memusnahkan sebuah jambatan strategik yang menghubungkan dua kawasan di daerah Lumajang dan bandar Malang.

Di kawasan Sumberwuluh di mana dua buah lori ditenggelami abu gunung berapi, usaha menyelamat dihentikan secara tiba-tiba kerana angin kuat, kata seorang saksi.

Pegawai BNPB, Dewa Arya berkata, pasukannya sedang berusaha mengeluarkan lima mangsa daripada sebuah keluarga tetapi usaha mereka tergendala akibat cuaca buruk.

Sementara itu, orang ramai menyiarkan gambar saudara- mara yang hilang di laman Facebook dan merayu sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi mereka.

Pemerintah juga mendirikan dapur awam dan fasiliti kesihatan untuk lebih 1,000 penduduk yang hilang tempat tinggal dalam bencana tersebut.

Pegawai-pegawai turut menasihati penduduk setempat supaya tidak berada dalam radius 5 kilometer dari kawah Gunung Semeru.

Abu gunung itu bergerak  sejauh  4 kilometer selepas letusan pada Sabtu lalu.

 Sebuah pejabat syarikat perlombongan pasir di Kampung Renteng tertimbus selepas letusan Semeru, menyebabkan 15 orang terperangkap, kata mandur berumur 65 tahun yang dikenali sebagai Hasim.

“Tiada berita daripada mereka. Hanya seorang pekerja dapat diselamatkan. Dia kini dirawat di hospital kerana luka melecur,” katanya.

Hasim berkata, dia berlari pulang selepas letusan berlaku.

“Keadaan amat gelap. Ia seperti malam hari walaupun ketika itu cuma pukul  3 petang (waktu tempatan).

Semeru merupakan antara 100 gunung berapi aktif di Indonesia. Letusan kuat terakhir Gunung Semeru adalah pada Disember 2020 yang memaksa beribu-ribu penduduk lari menyelamatkan diri. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI