PETALING JAYA – Setelah memukul ‘tabuh’ sudah berkahwin sebulan lalu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose tidak lagi bersembunyi untuk meluahkan kebahagiaan kehidupan berumah tangga dalam perkongsian Instagram masing-masing.
Lebih menarik, perkongsian tersebut merupakan hantaran pertama mereka sebagai suami isteri selepas selepas sah bernikah sebulan lalu.
“Assalamualaikum isteri,” tulis pelakon drama Sihir.
Jawab Uqasha romantis: “Waalaikumsalam suami (diikuti dengan tanda pagar #kamalxuqasha).”
Dalam ruangan komen kedua-dua hantaran, akaun Instagram pasangan tersebut dihujani ucapan tahniah daripada rakan selebriti dan peminat yang rata-ratanya terkejut dengan pengumuman perkahwinan mereka hari ini.
“Assalamualaikum Puan Uqasha,” komen Mira Filzah.
“Semekom (Assalamualaikum) abapar (Abang ipar),” tulis Nelydia Senrose yang juga adik kepada Uqasha.
Hari ini, pasangan suami isteri itu mengejutkan ramai selepas mengaku sudah mendirikan rumah tangga di sebuah pusat peranginan di Janda Baik, Pahang pada 5 November lalu.
Pada majlis bertemakan ‘Garden Wedding’ tersebut, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli itu menyerahkan wang tunai sebanyak RM22.50 sebagai mas kahwin berserta tujuh dulang hantaran berbalas tujuh dulang hantaran daripada Uqasha.
Terdahulu, pasangan itu telah melangsungkan pertunangan pada April lalu.
Kamal sebelum ini pernah membuat kejutan apabila melamar pemilik nama sebenar Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 29, itu dalam program secara langsung, Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) Disember tahun lalu.
Hubungan cinta mereka mula menjadi perhatian peminat selepas digandingkan dalam sebuah drama arahan Michael Ang berjudul, Setelah Terlafaznya Akad.
Mengikut perancangan asal, Kamal dan Uqasha sepatutnya melangsungkan majlis akad nikah dan tiga buah majlis resepsi di sebuah pusat peranginan tanah tinggi terkemuka, namun terpaksa menangguhkan hasrat tersebut disebabkan penularan virus Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Pada Jun lalu, Kamal mendedahkan secara eksklusif kepada Kosmo! Online bahawa jika bukan kerana pandemik Covid-19, dia dan Uqasha sepatutnya telah bergelar suami isteri pada bulan tersebut. – K! ONLINE