fbpx

Bung Moktar minta komisen RM3.5 juta daripada ejen pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zizie dan Bung ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah meminta komisen RM3.5 juta daripada seorang ejen pelaburan sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, berkata, Ahli Parlimen Kinabatangan itu meminta komisen tersebut dalam satu pertemuan di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini pada 4 Mei 2015.

Butiran tersebut yang terkandung dalam rakaman percakapannya ketika disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah melibatkan Bung Moktar, bagaimanapun bercanggah dengan keterangan lisannya di mahkamah minggu lalu.

Sebelum ini, saksi pendakwaan ke-24 itu memberi keterangan bahawa dalam pertemuan tersebut Bung Moktar tidak meminta komisen RM3.5 juta, sebaliknya beliau sendiri (Madhi) bersetuju agar wang RM2.2 juta diberikan kepada isteri tertuduh, Datin Seri Zizie Izette A. Samad sebagai wang pengenalan.

Madhi turut menafikan wang RM2.2 juta yang dibayar kepada Zizie Izette adalah sebenarnya untuk Ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menyoal balas saksi itu yang dianggap sebagai saksi belot (hostile witness) berikutan keterangannya di mahkamah bercanggah dengan rakaman percakapan semasa disoal siasat SPRM.

Terdahulu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, Madhi menyatakan pihaknya memberikan empat percakapan pada 2016 iaitu pada 13 Julai, 14 Julai, 25 Julai dan 14 Oktober manakala rakaman terakhir diberikan hampir lima tahun kemudian iaitu pada 4 Februari lalu.

Ketika diasak secara bertubi-tubi oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria, saksi berkenaan mengaku wujud percanggahan yang sangat material di antara keterangannya di mahkamah dengan empat percakapan yang diberikan kepada pihak SPRM pada tahun 2016. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI