BEIJING – Seekor buaya di Liuzhou, Guangxhi Zhuang, selatan China yang terlalu pemalu dan tidak berani muncul di permukaan air akhirnya mati tenggelam, lapor akhbar Global Times semalam.
Penternak haiwan itu berkata, buaya seberat 100 kilogram itu amat mudah berasa takut dan hampir tidak pernah keluar daripada air.
Kejadian itu dimuat naik oleh seorang pekerja ladang buaya itu di Liuzhou. Lelaki tersebut berkata, buaya itu amat pemalu dan ini kali pertama kali dia melihat seekor buaya yang mati tenggelam.
“Buaya itu pemalu dan menyelam ke dalam air kerana terlalu takut yang menyebabkan kematiannya,” kata pekerja itu.
Bagaimanapun, pakar-pakar tidak bersetuju dengan pendapat penternak itu dan mengatakan bahawa buaya yang tenggelam biasanya disebabkan oleh penyakit.
Mereka memberitahu, kes buaya yang tenggelam adalah amat jarang berlaku dan dikaitkan dengan penyakit yang menyebabkan haiwan itu tidak boleh bernafas dengan baik.
Buaya biasanya menyelam dan muncul ke permukaan air untuk menyedut udara.
Insiden buaya tenggelam mungkin disebabkan oleh penyakit yang membuatkan ia tidak dapat bernafas dengan baik. – AGENSI