TAHUN ini genap lima tahun hayat karier nyanyian Zarol Zarif sejak menyertai program realiti Akademi Fantasia (AF) pada 2016.
Biarpun tersingkir pada minggu ketujuh dalam program popular tersebut, Zarol tidak pernah berputus asa. Dia sebaliknya terus bekerja keras untuk membuktikan bakat seninya pada khalayak.
Tidak semudah yang disangka apabila nasib kurang menyebelahinya. Tuah yang diharapkan tidak juga berkunjung meskipun selepas melahirkan tiga buah single.
Enggan terus menanti dan memperjudikan nasib, anak kelahiran Johor Bahru itu tekad membuka laluan sendiri dengan menjadi seorang bintang YouTube atau YouTuber menerusi Cikidot Channel.
“Selepas keluar daripada AF kehidupan saya agak mencabar, terutama selepas bapa meninggal dunia. Walaupun terdapat tawaran untuk menyanyi di Kuala Lumpur, saya memilih untuk pulang ke Johor Bahru menemani emak selama setahun.
“Bahkan kebanyakan lagu yang ditawarkan kepada saya ketika itu tidak menepati cita rasa.
“Jadi, saya tekad untuk bina platform sendiri dalam YouTube kerana sudah terlalu penat hendak mengharapkan orang nampak bakat saya,” ujar Zarol membuka bicara.
Sambung pemilik nama sebenarnya, Mohamad Afzarul Dzarif Mohd. Mazle, 29, dia tidak menyangka usaha bersama dua orang sepupunya itu membuahkan hasil.
Cikidot Channel kini memiliki lebih satu juta pengikut dengan lebih 200 juta jumlah tontonan.
“Mulanya Cikidot Channel dikenali kerana kandungan yang merapu, tetapi ramai pula orang suka dan mula beri sokongan.
“Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menghasilkan pelbagai kandungan untuk tatapan penonton.
“Jujurnya, pada hari ini orang ramai lebih mengenali saya sebagai YouTuber berbanding penyanyi.
“Kebanyakan mereka menonton AF ketika zaman Mawi, jadi saya tidak begitu dikenali sebagai penyanyi,” kongsinya.
Impian
Meskipun selesa dengan karier sebagai YouTuber, Zarol tidak pernah melupakan nyanyian yang menjadi cinta pertamanya. Biar pernah berasa lelah, dia tidak sesekali berhenti daripada terus mencuba sebagai seorang penyanyi.
Cita-citanya dalam bidang seni hanya satu iaitu mahu memiliki sebuah lagu popular yang menjadi siulan ramai sebelum mencecah usia 30 tahun.
“Impian saya sebelum berusia 30 tahun, saya mahu ada satu lagu popular yang diingati ramai. Jadi, saya hanya ada masa setahun lagi untuk merelisasikan impian tersebut,” ujar Zarol yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya Kan Kan baru-baru ini.
Ditebak tentang kesungguhan dan pendirian kentalnya menjunjung karier nyanyian selepas bertahun-tahun tenggelam, jawab Zarol, dia hanya mahu menunaikan impian bapanya yang mahu dirinya menjadi penyanyi.
“Jika ikutkan memang kecewa dan penat, namun saya tidak berputus asa kerana arwah ayah. Mulanya saya langsung tidak berminat dengan nyanyian, tetapi ayah yang memberi dorongan dengan mendaftarkan saya ke pertandingan karaoke.
“Arwah ayah jugalah yang menemani dan menghantar saya setiap tahun untuk menghadiri uji bakat AF. Namun, setiap kalinya saya gagal.
“Apa yang membuatkan saya ralat, setahun selepas arwah ayah meninggal dunia saya dapat masuk AF. Arwah ayah tidak sempat melihat saya menyertai AF dan sebab itu saya tidak akan berputus asa untuk meneruskan impian arwah ayah,” tutur Zarol.
Justeru, Zarol mengharapkan impiannya dan arwah bapa akan termakbul menerusi single keempat berjudul Kan Kan. Single berkenaan sudah berlegar dalam semua platform digital seperti Spotify, JOOX dan Apple Music sejak 26 November lalu.
Kan Kan
Berbicara lanjut mengenai single terbaharunya yang dibikin bersama komposer dan penyanyi Cat Farish, Zarol sanggup menukar haluan muzik demi meraih perhatian pendengar.
Zarol yang kini bernaung bawah bumbung Ace Talents mengakui lebih meminati genre balada bagaimanapun sedar pembaharuan harus dilakukan demi kelangsungan karier nyanyian.
“Saya meminati lagu balada seperti lagu-lagu Anuar Zain, namun selepas beberapa kali mencuba, saya sedar yang saya perlukan lagu santai dan mudah dinyanyikan orang ramai.
“Maka, terhasil lagu berjudul Kan Kan. Lagunya cukup ringan dan judulnya juga diambil daripada perkataan yang digunakan setiap hari oleh rakyat Malaysia,” ujar Zarol.
Luah Zarol lagi, meskipun pernah menghasilkan beberapa single, dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar apabila mengeluarkan single terbaharu.
“Saya berasa gementar kerana sudah lama tidak mengeluarkan lagu. Kali terakhir saya mengeluarkan single adalah pada 2018. Bimbang juga dengan penerimaan orang, namun saya telah berusaha yang terbaik,” katanya.
Bekerja dengan Cat Farish juga sesuatu yang santai buat Zarol meskipun sempat diulit kontroversi kerana dikatakan tidak serius ketika sesi rakaman.
Isu tersebut timbul berikutan Zarol melakukan ‘prank’ terhadap Cat sebagai bahan kandungan untuk saluran YouTube miliknya. Walhal ketika itu Cat begitu serius sedang menyelesaikan kerja-kerja rakaman.
“Ramai yang kata isu sekadar gimik kerana kami bekerjasama merakamkan lagu. Sebenarnya memang saya lakukan ‘prank’ terhadap Cat cuma waktunya tidak kena.
“Ketika itu dia sedang berserabut dengan masalah lain dan ‘prank’ saya telah menambahkan lagi bebanannya. Mungkin sebab itu, Cat melepaskan kemarahan dan saya sendiri tidak menyalahkan dia.
“Sekarang kami baik-baik sahaja. Saya jadikan kisah itu sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Walaupun sibuk buat kandungan untuk YouTube, saya harus memikirkan sensitiviti orang lain juga,” luah Zarol menutup bicara.