PASIR MAS – Orang ramai yang berkumpul beramai-ramai ketika keluar melihat air banjir di musim tengkujuh di negeri ini boleh dikenakan kompaun atas kesalahan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pematuhan SOP itu merangkumi penjarakan fizikal dan sentiasa memakai pelitup muka seperti telah ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, kompaun kompaun itu boleh dikeluarkan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dalam pematuhan SOP bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Saya berharap seluruh masyarakat di Kelantan agar menjauhi aktiviti berkumpul secara beramai-ramai bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kotak Rezeki Daripada Kurniaan Istana Kepada Balu dan Anak-Anak Yatim Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 100 penerima terdiri daripada balu dan anak-anak kepada anggota PDRM Kelantan yang telah meninggal dunia menerima sumbangan.- K! ONLINE