SHAH ALAM – Seramai 87 individu menerima Darjah dan Bintang Kebesaran sempena ulang tahun hari keputeraan yang ke-76 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sabtu ini.
Daripada jumlah tersebut, seorang individu dianugerahkan Darjah Kerabat Kedua Selangor Yang Amat Dihormati, 17 individu terpilih menerima penganugerahan membawa gelaran manakala 69 lagi tanpa membawa sebarang gelaran.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim berkata, kerajaan negeri menerima 2,100 permohonan dengan sebanyak 990 permohonan bagi Darjah dan Bintang Kebesaran.
Katanya, manakala selebihnya 1,110 borang permohonan adalah bagi pencalonan pingat-pingat negeri Selangor.
“Pada tahun ini, Sultan Sharafuddin mengutamakan calon-calon daripada barisan hadapan bagi memenuhi kuota-kuota Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor yang ditetapkan.
“Ini sebagai menghargai jasa dan pengorbanan dalam mengalas tugas yang dipertanggungjawabkan tanpa mengira masa dan tenaga bagi membendung penularan pandemik Covid-19 melanda negara sejak bulan Mac tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, tumpuan juga pada kali ini diberikan kepada penyelaras yang mengendalikan pengurusan jenazah Covid-19 di Selangor yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi berbanding negeri lain.
Tambah Haris, hanya seorang menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor membawa gelaran ‘Datuk Seri’ bagi lelaki dan “Datin Paduka Seri’ bagi wanita.
“16 individu lain menerima masing-masing Darjah Dato’ Paduka Mahkota Selangor dan Dato’ Sultan Sharafuddin Idris Shah yang membawa gelaran ‘Dato’ bagi lelaki dan ‘Datin Paduka’ bagi wanita,” katanya.
Beliau memberitahu, bagi Darjah dan Bintang Kebesaran yang tidak membawa gelaran masing-masing adalah Setia Mahkota Selangor (19), Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (14), Ahli Mahkota Selangor (15), Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (14) dan Bintang Perkhidmatan Cemerlang (7).
“Semua calon telah melepasi tapisan Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” tegasnya. -K!ONLINE