JAKARTA – Sebuah rakaman video menunjukkan dua buah rumah dihanyutkan arus deras banjir dalam kejadian di Soppeng, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita Kompas.com.
Rumah yang dihanyutkan arus deras itu kemudian musnah setelah melanggar sebuah jambatan.
Pentadbiran tempatan memaklumkan bahawa kejadian itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa.
Dua kediaman yang terletak di tebing Sungai Cabbule, Lalabata itu dilaporkan masing-masing milik Herman Wijaya dan Laupe.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD), Syahrani memaklumkan bahawa setakat ini tiada kemalangan jiwa berlaku kerana pemiliknya sempat lari ke tempat lebih selamat.
“Ya, benar apa yang berlaku pagi tadi. Dua unit rumah hanyut dibawa arus sungai.
‘’Hujan lebat tidak berhenti sejak malam tadi dan ketika ini terdapat tiga mukim dinaiki air. Alhamdulillah, tiada laporan kemalangan jiwa berlaku,” kata Syahrani menerusi khidmat pesanan ringkas. – Agensi