fbpx

Umrah sistematik, jalani ibadah dengan selesa dan tenang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI penggunaan aplikasi, para jemaah umrah kini dapat menunaikan umrah dengan lebih selesa kerana bilangan jemaah yang dibenarkan menunaikan sesuatu ibadah dalam satu-satu masa dikawal.

“INILAH pertama kali saya tidak berhimpit dan dapat menunaikan ibadah dengan tenang sepanjang mengerjakan umrah,” kata Ida Riswana Idris ketika berkongsi pengalamannya mengerjakan umrah awal bulan lalu selepas lebih setahun Tanah Suci tidak menerima jemaah dari luar negara ekoran pandemik Covid-19.

Sebagai Pengarah dan Penasihat Undang-Undang di syarikat pengendali pakej ibadah haji dan umrah popular negara, Andalusia Travel & Tours yang sering dijemput sebagai tetamu Allah mengerjakan ibadah tersebut, Ida Riswana mengakui, dia tidak terkecuali daripada dihimpit rasa bimbang pada awalnya.

Selain gusar akan jangkitan Covid-19 yang masih belum reda dek kemunculan varian-varian terkini, pelaksanaan norma baharu menggunakan aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna menyebabkan dirinya turut tertanya-tanya bagaimanakah keadaannya sebaik tiba di sana nanti.

Bagaimanapun, segala keresahan yang bermain di minda wanita ini lenyap sebaik kaki dijejakkan di Mekah.

Biarpun pelaksanaan ibadah-ibadah di Tanah Suci sudah boleh dilakukan seperti dahulu iaitu tanpa penjarakan dan saf boleh dirapatkan, tetapi kali ini segalanya dilakukan secara begitu teratur dan terkawal dengan ‘seliaan’ aplikasi berkenaan.

CONTOH aplikasi Eatmarna yang digunakan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

Malahan katanya, situasi itu dilihat sebagai sinar baharu kerana berjaya memberi kemudahan buat para jemaah untuk menunaikan ibadah dengan lebih tenang dan selesa.

“Saya berasa sungguh seronok dan bersyukur kerana berpeluang fokus kepada ibadah tanpa halangan atau berasak-asak sehingga terpijak jemaah lain seperti sebelum ini.

“Apabila kesemuanya telah disusun dalam aplikasi, ia menjadi lebih teratur dan ibadah dapat dijalankan dengan selesa serta sempurna, memandangkan setiap individu telah diberi slot waktu masing-masing untuk beribadah.

“Berbeza dahulu, ketika berpeluang menunaikan ibadah umrah hampir setiap bulan, saya sering terfikir bagaimana mahu menyusun kesemua jemaah kerana keadaan di situ terlalu padat. Tetapi dengan norma baharu ini, barulah saya sedar semuanya boleh dilakukan menggunakan sistem seperti Tawakkalna dan Eatmarna,” ceritanya.

SEBAGAI antara pengendali pakej umrah popular negara, Andalusia Travel & Tours menyediakan pakej ibadah umrah pada harga yang berpatutan untuk keselesaan jemaah. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

Menurut Ida Riswana lagi, bukan sahaja dirinya, keraguan tersebut turut bermain-main di dalam fikiran para jemaah lain terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali mahu mengerjakan umrah.

Selain tidak dapat membayangkan penggunaan aplikasi yang diwajibkan kerajaan Arab Saudi, jemaah juga bimbang sekiranya saringan Covid-19 sebelum menjejakkan kaki di Tanah Suci menunjukkan keputusan positif.

“Ramai yang tertanya bagaimana gambaran menggunakan aplikasi tersebut. Adakah ia mudah atau sukar memandangkan ia tidak boleh diaktifkan selagi tidak berada di sana.

“Mereka juga bimbang jika tiba-tiba keputusan ujian saringan Covid-19 menunjukkan mereka positif dan seterusnya menghalang daripada menunaikan ibadah umrah. Umum menyedari, jika didapati positif sebelum tiba ke Tanah Suci itu, musnahlah impian untuk mengerjakan umrah,” terangnya.

Bagaimanapun, menurut Ida Riswana, individu tidak perlu bimbang kerana semuanya akan diuruskan oleh agensi pelancongan yang mewakili mereka.

Begitupun, dalam memastikan diri kekal sihat untuk mengerjakan ibadah, mereka disarankan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Petugas di Masjidilharam kini telah menanggalkan pelekat-pelekat penjarakan fizikal yang pernah dipraktikkan tahun lalu.

Menyaksikan beberapa kes yang mana keputusan saringan jemaah positif sebelum berlepas sehingga menyebabkan mereka terkandas, Ida Riswana menegaskan, pentingnya kuarantin kendiri di rumah sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum berangkat memandangkan antara syarat wajib menaiki penerbangan ke Arab Saudi bagi tujuan umrah adalah negatif Covid-19 dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di sana.

Bagi mengelakkan segala kebarangkalian luar jangka yang berkemungkinan berlaku, individu turut disarankan untuk mengambil insurans pelancongan, lebih-lebih lagi di musim pandemik.

“Saya banyak nasihatkan sewaktu melaksanakan SOP, individu dicadangkan melakukan kuarantin kendiri selama tujuh hari sebelum penerbangan bagi memastikan mereka bebas Covid-19.

“Bagaimanapun, bagi mengatasi kerisauan tersebut, individu turut digalakkan untuk mengambil insurans pelancongan kerana dari situ kita akan dilindungi untuk sebarang situasi, terutamanya jika ujian saringan yang dijalankan menunjukkan diri positif Covid-19.

“Dengan hanya membayar RM203 sahaja, insurans tersebut akan membayar balik jumlah wang pakej mengerjakan umrah yang dibayar jemaah 100 peratus dan membolehkan mereka menunaikan ibadah apabila sudah sembuh daripada Covid-19,” tambahnya.

IDA RISWANA (kiri) dan jemaah daripada Andalusia Travel & Tours menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah dengan penuh ketenangan baru-baru ini.

Terangnya, biarpun sewaktu pengambilan pakej umrah, setiap jemaah turut disertakan dengan takaful kelompok, selain insurans yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi di dalam visa umrah, namun ia tidak sama dengan insurans pelancongan tambahan yang perlu diambil sendiri.

“Takaful kelompok hanya merangkumi pengebumian jika meninggal dunia di Tanah Suci dan wang saguhati bernilai kira-kira RM10,000. Insurans yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi pula hanya meliputi kejadian-kejadian yang berlaku sebaik jemaah tiba.

“Tetapi insurans pelancongan ini merangkumi apa-apa yang berlaku terhadap jemaah sebelum bertolak ke Tanah Suci, contohnya seperti isu positif Covid-19.

“Memanglah untuk mengerjakan umrah, kita bertawakal kerana Allah dan insurans bukanlah segala-galanya, tetapi jika diuji dengan apa-apa situasi sekalipun, ia mampu membuatkan individu tenang.

“Apa-apa pun, jemaah perlu mempersiapkan diri dengan segala kebarangkalian biarpun pucuk pangkalnya nanti berbalik kepada jemputan Yang Maha Esa juga,” jelasnya.

Bersyukur perjalanannya bersama jemaah umrah Andalusia Travel & Tours dipermudahkan, Ida Riswana menegaskan, penggunaan visa umrah bersama syarikat pengendali pakej umrah turut memainkan peranan dalam kelancaran ibadahnya berbanding mereka yang menggunakan visa pelancongan.

Tambahan pula, sepanjang keberadaannya di sana dan menyaksikan pelbagai kejadian, Ida Riswana mengakui, terlalu banyak yang ingin dikongsikan kepada umum terutamanya dalam situasi pandemik semasa.

Untuk itu, dia menasihati orang ramai agar seelok-eloknya jika mahu menunaikan ibadah umrah, pergilah dengan agensi pelancongan.

Ini kerana katanya, ia boleh membuatkan seseorang individu bebas daripada sebarang perasaan bimbang.

“Bukan mahu katakan bersama Andalusia Travel sahaja, sebaliknya pergilah mengerjakan ibadah dengan mana-mana agensi pelancongan dan jangan lakukan sendiri menggunakan visa pelancongan.

“Bagaimanapun, dengan norma baharu segala kebarangkalian pasti ada dan mungkin individu tidak pernah terjangka akan berlakunya satu-satu perkara. Lebih-lebih lagi semuanya perlu dilakukan sendiri dan tiada siapa yang menguruskannya.

“Tambahan pula kita berniat untuk menunaikan umrah, mestilah mahu fokus kepada ibadah dan tidak perlu memikirkan hal-hal lain. Disebabkan itu, masyarakat hari ini lebih senang menggunakan agensi pelancongan,” ujarnya.

Pun begitu, Ida Riswana tidak menafikan ada sesetengah orang memang sukakan cabaran dan mahu pergi sendiri menggunakan visa pelancongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI