Quito, Ecuador – Sekumpulan individu sanggup mengeluarkan mayat rakan mereka daripada keranda semata-mata untuk membawa jasad lelaki itu ‘menaiki’ motosikal buat kali terakhir.
Tindakan aneh itu tersebut dikatakan sebagai simbol ‘perpisahan terakhir’ yang biasa dilakukan di negara berkenaan.
Menurut laporan portal Daily Mail, mayat lelaki dikenali Erick Cedeno dikeluarkan dari keranda oleh sekumpulan rakannya semasa majlis pengebumian berlangsung di Portoviejo, wilayah Manabi.
Cedeno yang berusia 21 tahun dilaporkan meninggal dunia minggu lalu selepas ditembak oleh dua orang penyerang ketika mangsa dalam perjalanan untuk menghadiri satu majlis pengebumian.
Menerusi perkongsian gambar dan video, dapat dilihat mayat Cedeno dikeluarkan dari keranda dan kemudian diletakkan di belakang badan penunggang motosikal, manakala seorang lagi rakannya membonceng bagi memastikan mayatnya tidak terjatuh semasa motosikal bergerak.
“Kumpulan individu itu mendakwa bahawa mereka sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa Cedeno bagi melakukan penghormatan terakhir. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa menyelar perbuatan itu sebagai aktiviti yang ‘menyimpang’,” menurut lapor berita Daily Mail.
Setakat ini siasatan berhubung kejadian itu belum dilakukan kerana upacara pengebumian Cedeno dianggap sebagai majlis persendirian. – K! ONLINE