MIAMI, FLORIDA – Seorang lelaki ditahan selepas menikam rakan sekerjanya sehingga mati kerana mangsa menolak ajakan untuk keluar bersama, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Agustin Lucas Mariani, 20, berdepan pertuduhan membunuh tanpa niat selepas Delfina Pan, 28, meninggal dunia di Miami, Florida.
Delfina yang berpindah dari Argentina ke Florida sejak dua tahun lalu, enggan menerima cinta Mariani, lapor akhbar Miami Herald.
Semasa Delfina pulang dari kerja, Mariani mengekorinya dan meminta untuk masuk ke dalam pangsapuri mangsa.
Polis turut mendapati bahawa Mariani bertindak meninggalkan syif kerjanya untuk mengekori Delfina dari kerja pada Isnin minggu lalu.
Delfina diserang setelah enggan membenarkan Mariani masuk.
Polis berkata, Mariani ‘menghunus sebilah pisau tanpa provokasi dan mula menikam mangsa’.
Pisau itu dilaporkan hilang dari tempat Delfina dan Mariani bekerja di restoran Kansas Bar and Grill di South Beach.
Menurut laporan, Mariani kemudian menikam dadanya sendiri tanpa menyebabkan kecederaan serius dan ditemui terbaring di atas badan Delfina di luar pangsapuri itu.
Mereka dikejarkan ke hospital di mana Delfina kemudian disahkan meninggal dunia. Mariani turut didakwa kerana melakukan pembunuhan setelah pulih daripada kecederaan yang dilakukannya sendiri.
Rakan sekerja mereka turut memaklumkan bahawa Mariani sering meluahkan cintanya, namun ditolak Delfina dengan baik.
Menurut akhbar Miami Herald, Mariani memohon haknya untuk berdiam diri. – Agensi