fbpx

Semangat Cef Shafee ceburi F&B

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Platform PKS

PETALING JAYA – Pernah be­kerja makan gaji untuk menambah duit poket bagi menampung per­belanjaan ketika menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi awam serta dipecat dalam tempoh 24 jam sebanyak tiga kali adalah antara kenangan pahit manis yang dihadapi seorang cef dalam dunia perniagaannya.

Isu ketidakfahaman majikan terhadap komitmen seorang pelajar universiti dengan tugasan harian dan juga sesi pem­belajarannya telah ­menyebabkan Shafee Madianuddin mengambil langkah selamat untuk hanya berniaga menggunakan tenaga tulang empat keratnya.

Bermula tahun 2018, pengasas syarikat Bakti Semai Global itu memulakan langkah kanannya dengan berniaga di tepi jalan di bawah payung di Putrajaya de­ngan menjual kuih-muih, kuih bulan dan juga bomboloni (donut kecil) untuk mencari pengalaman dan menambah baik rangkaian pemasaran.

Keistimewaan hasil air tangannya yang sebelum ini memiliki sijil sehingga ke peringkat ijazah dalam bidang makanan dan minuman (F&B) itu mampu menghasilkan makanan ­berasaskan ba­keri termasuk kuih bulan yang dipelajarinya daripada seorang cef di sebuah kolej sebelum ini.

“Biasalah bila berniaga secara kecil-kecilan, ada hari boleh dapat untung dan pernah juga saya mendapat jualan serendah RM30 sahaja, dalam masa yang sama, saya terpaksa berulang-alik dari rumah di Selayang, Selangor hingga ke Putrajaya setiap hari.

“Dari situ, bakat dan kesungguhan saya selama ‘berniaga di bawah payung’, telah mendapat perhatian daripada pihak pe­ngurusan Kolej Komuniti Sela­yang (KKS) untuk menjemput saya mengambil alih sebuah kafe di Putrajaya pada tahun 2020.

“Bisnes tersebut mendapat sokongan daripada KKS yang mana saya hanya perlu membawa kakitangan untuk mengendalikan kafe yang dikenali sebagai Inspired Kitchen dan juga bahan mentah untuk memasak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika di temui pada majlis pembukaan restoran terbaharu milik­nya, Mangkuk di Subang Bestari baru-baru ini.

Shafee, 32, yang merupakan bekas pelajar KKS menerangkan, kafe tersebut sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk melatih pelajar kolej berkenaan daripada orang kelainan upaya (OKU) dan juga melatih pelajar pelatih sebagai persediaan sebelum mereka melangkah ke dunia pekerjaan sebenar.

“Mengambil alih dan mengendalikan kafe merupakan satu tanggungjawab yang besar buat diri saya kerana ia memerlukan tumpuan dari semua aspek iaitu pembangunan menu, masakan, pengambilan pekerja dan me­latih mereka serta juga segi pentadbiran dan pengurusan ke­wangan.

“Pernah saya hadapi masalah besar pada satu hari yang mana tiga pekerja saya berhenti se­rentak dan saya sendiri terpaksa menguruskannya seorang diri tetapi masih mampu mencatat jualan yang baik pada hari tersebut,” jelasnya.

Anak bujang yang berasal dari Selayang itu menjadikan pengalaman tersebut sebagai perisai kebal untuk dirinya berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk pandemik Covid-19 yang turut mengujinya ketika mengendalikan kafe Inspired Kitchen itu.

Berkat doa dan sokongan daripada keluarga, usahawan ini bersama rakan kongsinya, Hafezy Ibrahim telah menerima ‘lamaran’ daripada seorang kontraktor untuk mengambil alih sebuah restoran yang baru beroperasi cuma selama tiga bulan sebelum terpaksa ditutup disebabkan pandemik ekoran penguatkuasaan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Nama asal restoran tersebut adalah Mangkuk dan kami kekalkan namanya sehingga kini dan saya yakin melalui pengalaman lalu akan menjadikan saya lebih matang untuk mengope­rasikan sebuah restoran yang berada di lokasi strategik berdekatan dengan sebuah institusi pengajian tinggi swasta dan juga kawasan perumahan,” jelasnya.

Restoran ini menawarkan konsep menu bertemakan fusion Asia dan Barat kerana beliau melihat ia bersesuaian de­ngan cita rasa pelbagai lapisan masyarakat.

Antara menu yang dihidangkan adalah wantan goreng, mi kicap wantan, sup wantan, mi kari, grill chicken dan set nasi bersama asam pedas bagi memenuhi keperluan selera seisi keluarga.

“Saya teruja dapat membuka restoran ini kerana selain dapat memenuhi keperluan selera komuniti dan peminat makanan Cina Muslim, ia juga dapat memberi manfaat kepada kakitangan.

“Ada yang mahu bekerja untuk membantu memberi wang kepada ibu yang sedang sakit dan juga mahu mengurangkan beban kewangan keluarga,” jelasnya yang mengakui agak sukar kini mencari pekerja yang setia dan bersedia untuk bekerja secara lebih aktif.

Tambah beliau, perancangan yang rapi perlu disusun untuk membolehkan beliau me­ngukuhkan kumpulan sokongan bagi menjadikan restorannya lebih berdaya saing dan mampu menghadapi cabaran mendatang.

“Selain memiliki kumpulan yang menyokong operasi, saya juga perlu ada misi untuk tempoh tiga bulan, enam bulan dan seterusnya kepada satu tahun untuk mencapai misi tersebut,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI