fbpx

Sakit sudah pulih, konsert menanti – Zamani Slam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAMANI

HAMPIR tiga dasawarsa menyeberangi lautan seni tanpa rasa lelah, satu perkara yang begitu memberi inspirasi buat orang ramai terutama bagi kebanyakan kumpulan muzik tempatan, Slam masih utuh berdiri sehingga hari ini.

Di mana-mana, muzik ‘lama’ mereka masih setia didengari dan menjadi siulan para pendengar. Itu tandanya apa yang dikerjakan kumpulan tersebut sangat dihargai dan akan kekal berkumandang untuk satu tempoh panjang.

Kumpulan Slam yang setia dianggotai ahli asal iaitu Zamani selaku vokalis, Shah (gitaris), Eddie (keyboard), Man (dram) dan Lili (bass) mendedahkan, antara rahsia kekal relevan dalam industri adalah sentiasa jujur dengan setiap penghasilan karya muzik.

Shah berkata, Slam tidak pernah ambil ‘pusing’ tentang sambutan daripada peminat kerana perkara paling mustahak adalah usaha yang dicernakan dalam karya mereka.

“Berdasarkan pengalaman, kami merakam muzik dengan usaha yang 100 peratus.

“Maksudnya, kerja yang kami buat betul-betul teliti. Nak guna perkataan ‘di’ dalam lirik lagu pun kita fikir sedalam-dalamnya.

“Sebab itu lagu-lagu orang lama bertahan sampai sekarang. Kita buat kerja bukan sembarangan. Dahulu, Zaman nak masukkan vokal di studio ramakan pun sampai lima jam lamanya,” kata kepada HibGlam baru-baru ini.

KEHIDUPAN Zamani kini terjaga dan dipenuhi kebahagiaan sejak mendirikan rumah tangga dengan Nur Juliana Abd. Rani sejak tahun 2019.

Buat muzik sebab ‘passion’

Ujar Shah lagi, berbeza dengan budaya atau cara kerja pemuzik sekarang, Slam merupakan antara artis yang tidak mudah patah semangat hanya kerana kurang mendapat sambutan daripada peminat.

“Kita buat (muzik) sebab ‘passion’ (minat). Tak fikir orang suka atau tidak. Pokoknya, memang nak main muzik sebab mahu berkarya.

“Barangkali, disebabkan kejujuran dalam berkarya sampai sekarang, Slam masih diingati dan diterima peminat.

“Zaman sekarang, orang sibuk buat muzik sebab nak letak dalam YouTube, dapat ‘views’ berjuta-juta. Itu mungkin sebabnya susah nak bertahan,” kata Shah.

TERKENAL di Indonesia, Slam mendedahkan apa yang menjadi sumber kekuatan buat mereka terus memperjuangkan muzik adalah para peminat yang tidak henti-henti memberi sokongan.

Dahulu pernah gagal

Ketika ditemu bual, Slam sempat mengenang kegagalan yang pernah ditempuhi mereka saat album debut menjengah pasaran hampir 30 tahun lalu.

“Nak tubuhkan band, kena istiqamah. Saya masih ingat album pertama Slam dahulu tak laku. Zaman itu, jualan 40,000 unit dah dikira gagal.

“Saingan waktu itu memang sengit antara band tempatan. Kalau jual 80,000 hingga 100,000 unit, itu baru dikira berjaya.

“Tapi tak mematahkan semangat juang kami. Album kedua yang kami bikin ‘meletup’ sampai jualan mencecah 250,000 unit (di Malaysia). Di Indonesia pun memang mendapat sambutan luar biasa waktu itu,” kongsi Shah.

Diminta pendapat tentang kumpulan tempatan masa kini yang dilihat mempunyai potensi, Shah berkata, malangnya, sekarang kewujudan band sudah sedikit tandus.

“Selepas zaman kami, ada Spider. Kemudian ada Akim & The Majistret, namun selepas itu, senyap dan tak berapa nampak.

“Mungkin silapnya mereka (band tempatan) buat muzik sebab terlalu obses dengan YouTube. Itu yang buat (muzik) acuh tak acuh sebab usaha tak sebesar orang lama,” ujar Shah.

ZAMANI dan Slam akan kembali menggamit memori peminat setia mereka dengan penganjuran Konsert Slam Mentari Muncul Lagi yang dijadualkan berlangsung pada 12 Februari 2022 bertempat Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. – AMIR KHALID

Kesihatan Zama­ni okey

Dalam pada itu, bakal mengadakan konsert Februari tahun hadapan, vokalis kumpulan Slam iaitu Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, 50, mengakui teruja untuk menghiburkan peminat yang sudah lama merindui kemunculan mereka.

“Memang ada rasa gementar sebab dah dua tahun tak keluar, tiba-tiba nak muncul dalam konsert besar. Jadi ada rasa sedikit tekanan tapi pada masa sama kita rasa teruja sebab nak jumpa peminat.

“Cuma kita takut kalau ada benda-benda yang tak diingini berlaku, yang itu kita cuba elakkan. Insya-Allah, semoga semuanya dipermudahkan sehingga hari konsert itu nanti.

“Saya pun sebenarnya tidak mahu faktor kesihatan dijadikan alasan. Kalau boleh, saya nak tutup buku tentang masalah kesihatan ini dan beri fokus sepenuhnya untuk persediaan konsert itu nanti,” katanya.

Zamani yang popular menerusi lagu Gerimis Mengundang menghidap penyakit skoliosis yang membuatkan tulang belakangnya melengkung sejak 2019.

Berkongsi perkembangan terkini, vokalis bersuara gemersik itu memberitahu, masalah yang dihadapinya semakin pulih hasil rawatan yang dilakukan selama ini.

“Memang penyakit itu mengganggu kemampuan vokal saya sebab tulang belakang menghimpit saraf.

“Tetapi alhamdulillah, hasil rawatan berterusan termasuklah dengan menggunakan katil Ceragem, kesihatan saya semakin baik. Selepas ini, kami dah boleh berlatih bersama-sama sehingga hari konsert tiba nanti.

“Sebab itu saya yakin untuk mengadakan konsert pada tahun hadapan. Kalau ikutkan tarikh asal iaitu pada Januari lalu, tapi waktu itu memang saya masih sakit,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI