SHAH ALAM – Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menetapkan tempoh pemilikan hartanah mesti mencukupi lima tahun pemilikan dari tarikh diterima pemilik pertama.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, sementara bagi transaksi seterusnya, tempoh lima tahun berasaskan kepada perjanjian jual beli atau kontrak lelongan.
“Tujuan dasar ini dilaksanakan adalah untuk memastikan hanya golongan yang layak sahaja memiliki hartariah harga kawalan di Selangor.
“Selain itu, mengelakkan aktiviti spekulasi harga dan manipulasi golongan yang ingin mengambil kesempatan di atas hartanah ini,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Leong Tuck Chee (PH-Pandamaran) sama ada kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghalang penjualan Rumah Selangorku kepada pihak ketiga oleh pemilik.
Rodziah yang merupakn Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga itu menegaskan berdasarkan rekod LPHS bagi permohonan kebenaran pindah milik hartanah harga kawalan Negeri Selangor sehingga Oktober 2021 mendapati tiada unit Rumah Selangorku yang telah dijual oleh pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan daripada kerajaan negeri.
Jelas beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mula membuat pemeriksaan terhadap penghuni yang tinggal di projek perumahan rakyat (PPR) yang dibinanya.
“Pemeriksaan tersebut dibuat setelah mendapati beberapa unit PPR tidak dihuni oleh pemilik sebenarnya.
“Sekiranya pemilik hendak menyewa rumah mereka kepada orang lain, mereka perlu memaklumkan kepada kita secepat mungkin,” katanya. – K! ONLINE