PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal dalam percubaannya untuk menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dan membatalkan perbicaraan kes rasuah solar yang dihadapinya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini.
Keputusan sebulat suara (unanimous) itu dibuat, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Ketika membacakan penghakimannya, hakim Hanipah berkata, mahkamah bersetuju dengan hujahan pihak pendakwaan bahawa mahkamah jenayah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan pengisytiharan yang dipohon Rosmah.
Beliau berkata, apa yang dipohon oleh Rosmah mesti tertakluk di bawah bidang kuasa mengikut Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
“Setelah mempertimbangkan penghujahan dan nas-nas yang dikemukakan oleh semua pihak, mahkamah mendapati bahawa bantahan awal yang dibangkitkan oleh responden adalah isu undang-undang yang mana ia mempunyai merit,” katanya.
Dalam prosiding hari ini Rosmah,69, selaku pemohon diwakili peguam Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader manakala pendakwaan yang merupakan responden diwakili Sri Ram dan Ahmad Akram Gharib.
Sebelum ini, Sri Ram pernah berhujah bahawa pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.
Hujah Sri Ram, Seksyen 376(3) Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa kepada Peguam Negara melantik timbalan pendakwa raya untuk menjalankan tugas pendakwa raya.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menggunakan budi bicaranya untuk tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau yang gagal hadir dalam prosiding rayuannya pada Khamis lalu.
Sebelum berhujah, peguam Jagjit memohon maaf kepada mahkamah atas ketidakhadiran anak guamnya minggu lalu.
Pada 24 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkan Sri Ram.
Hakim Mohamed Zaini berkata pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas adalah sah selain tiada keperluan untuk membahaskan isu kesahihan berhubung fiat (surat pelantikan) ylatau pelantikan Timbalan Pendakwa Raya itu.
Sebelum ini, dalam prosiding terdahulu Sri Ram berhujah, pelantikan beliau selaku pendakwa raya bermula 30 Ogos 2018, adalah sah.
Pada peringkat sekarang, Rosmah sedang disoal balas oleh Sri Ram pada perbicaraan bela diri kes solar tersebut yang akan bersambung pada 8 Disember ini.
Mengikut pertuduhan Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017. – K! ONLINE