KUCHING – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila mencatatkan pertembungan lapan penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, selain pertembungan lapan penjuru, pertembungan enam penjuru turut direkodkan di tujuh DUN.
“Pertembungan dua penjuru pula sebanyak empat DUN, tiga penjuru (13), empat penjuru (33) dan lima penjuru (24),” katanya pada satu sidang akhbar khas tadi.
Menurut Abdul Ghani, terdapat dua kertas penamaan calon ditolak sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung pagi tadi.
“Kertas penamaan calon pertama ditolak di DUN Jemoreng melibatkan Parti Bumi Kenyalang di mana penyokong calon menarik diri menyebabkan kertas itu tidak lengkap.
“Kes kedua melibatkan calon Bebas di DUN Senadin di mana pencadang dan penyokong calon bukan pemilih berdaftar di kawasan itu,” jelasnya. -K! ONLINE