fbpx

‘Masalah kita, Cina tak tengok filem Melayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penerbit filem, Aron Koh ditemui pada majlis pelancaran buku tulisannya di ibu negara, baru-baru ini.

PETALING JAYA – “Maaf cakap, orang Cina tak tengok filem Melayu dan orang Melayu pun tak tengok filem Cina.”

Itu pendapat jujur yang dilontarkan penerbit filem, Aron Koh tentang masalah filem tempatan yang masih buntu dan sukar untuk berkembang maju berbanding industri perfileman negara lain.

Kata Aron, 42, menjadi satu permasalahan yang tidak berkesudahan apabila situasi berkenaan terus diamalkan oleh orang Malaysia khususnya mereka yang berkecimpung dalam dunia perfileman termasuk para penonton.

“Inilah masalah kita sekarang. Kalau ada sahaja filem yang campur bahasa Melayu dan Cina (Mandarin) memang tak boleh jual.

“Pada pendapat saya, filem yang bagus tidak mengira bahasa apa yang digunakan tapi malangnya, mekanisme di negara ini masih berada di tahap lapuk.

“Tolonglah belajar sesuatu dari industri perfileman Korea Selatan. Kita semua tak faham bahasa Korea tetapi tetap pergi wayang dan strim filem mereka,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.

Aron yang juga merupakan Naib Presiden Filem Cina Malaysia dan pengasas produksi, Lomo Pictures ditemui pada sidang akhbar buku tulisannya, Zoom In: The Untold Story of Malaysian Filmaking di ibu negara.

Selama 18 tahun terlibat dalam dunia perfileman tempatan, Aron telah menghasilkan filem-filem seperti Show Me Your Love, Haunted Hotel dan Zombitopia.

Dalam pada itu, Aron turut melahirkan rasa kecewa dan terkilan apabila Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) hanya mengiktirafkan filem yang ditayangkan di layar perak sebagai syarat pencalonan penganjuran kali ini sedangkan industri sinematik sangat terkesan disebabkan pandemik Covid-19 sejak dua tahun.

Katanya, sudah sampai waktunya pihak yang berkenaan mengubah perkara itu memandangkan filem zaman sekarang bukan hanya ditayangkan di pawagam.

“Saya cukup kecewa pihak penganjur, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sepertinya, meletakkan syarat hanya filem yang ditayangkan di pawagam layak bertanding.

“Nak tayang di pawagam macam mana kalau panggung wayang tutup sejak dua tahun sebab Covid-19? Saya sangat kecewa dan perkara ini perlu diubah.

“Zaman sekarang, filem bukan hanya ditayangkan di panggung wayang. Banyak filem tempatan yang baik di platform penstriman. Academy Awards (Oscar) pun sudah terima pencalonan dari Netflix dan sebagainya. Ubah kalau nak lihat filem kita maju,” getusnya.

Pada sidang akhbar berkenaan, Aron turut mengumumkan pelan tayangan beberapa filem tempatan baharub terbitan syarikatnya seperti Small Town Heroes, Tiga Adiwira, Indera, Gila Gusti dan Oh My Soul.

Terdahulu, FFM31 yang akan berlangsung pada 10 Disember ini menyaksikan 55 filem cereka bertanding merangkumi filem Bahasa Melayu sebanyak 32 judul; filem Tamil (11 filem), Mandarin (lapan filem) serta masing-masing, dua filem Bahasa Inggeris dan Iban.

Rock 4: Rockers Never Dai, Ratu Kala Jengking, Sangkar, Pusaka, Suatu Ketika, Wira, Tiada Tajuk, Motif, Bulan & Pria Terhebat, Mimaland, Geran, Wangi, Misteri Delaila, Kron, Roh dan Misi Operasi adalah antara filem yang bersaing dalam 28 kategori untuk penganjuran kali ini.

Turut bersaing, Upin Ipin – Keris Siamang Tunggal, Ejen Ali The Movie, Ada Apa Dengan Dosa Serta Misi Operasi X. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI