POPULARITI yang diraih kumpulan Twice bukan calang-calang, nama mereka juga dikenali sebagai antara kumpulan paling berpengaruh dalam arena muzik K-pop.
Atas pencapaian yang diraih, pastinya peminat mengharapkan anggota Twice untuk mencuba pelbagai lapangan lain terutama drama walaupun sekadar penampilan khas atau kameo.
Namun, hasrat peminat untuk melihat perkara tersebut direalisasikan lebur begigtu sahaja apabila syarikat pengurusan Twice iaitu JYP Entertainment (JYPE) seakan-akan menutup peluang yang datang.
Buktinya, baru-baru ini salah seorang anggota Jeong-yeon ketika membuat siaran langsung dalam V Live+ mendedahkan dia pernah menerima tawaran berlakon sebagai undangan dalam sebuah drama.
Menariknya, drama tersebut juga menampilkan kakaknya sendiri, Gong Seung-yeon.
“Saya ada terima beberapa tawaran berlakon drama, tapi syarikat tolak,” katanya menjawab pertanyaan seorang peminat.
Pendedahan tersebut sekali gus membuatkan ramai peminat kecewa kerana karier Twice dilihat tidak berkembang maju dan ‘dihalang’ daripada terlibat dengan lapangan lain.