fbpx

Harimau Malaya langkah kanan Piala AFF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKHYAR (tengah) berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya meraih sepakan penalti dan menjaringkan satu gol buat Harimau Malaya.

SKUAD Harimau Malaya memulakan kempen Piala AFF Suzuki 2020 dengan langkah kanan selepas menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pembuka tirai Kumpulan B di Stadium Bishan, Singapura sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, skuad negara yang dikendalikan oleh Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan trio serangan utama terdiri daripada Guilherme de Paula, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.

Pasukan negara tidak menunggu lama menguji benteng skuad bimbingan Ryu Hirose hasil percubaan Safawi seawal minit ke-6 tetapi rembatannya daripada luar kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol pasukan lawan, Keo Soksela.

Pasukan negara terus ghairah dengan mengatur serangan dan kini giliran De Paula menguji Soksela tetapi rembatannya turut gagal menerjah jaring.

Momentum tersebut tidak terhenti apabila kem negara dihadiahkan sepakan penalti selepas Akhyar dijatuhkan pada minit ke-21.

Safawi tidak mensia-siakan peluang untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diberikan untuk meledak gol pertama negara.

Kemboja turut memiliki beberapa peluang sebelum tamat babak pertama tetapi penjaga gol skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menjaga gawang negara daripada dibolosi.

Bersambung pada babak kedua, Malaysia berjaya mengesahkan tiga mata penuh apabila Akhyar bijak menyudahkan peluang terhidang untuk meletakkan keputusan 2-0 pada minit ke-61.

Kemudian, giliran pemain gantian, Kogileswaran Raj untuk menambah derita pasukan Kemboja dengan menjaringkan gol ketiga skuad negara pada minit ke-79.

Namun, Kemboja yang menduduki ranking ke-170 meraih gol saguhati menerusi sepakan penalti pada minit ke-89 yang berjaya disudahkan oleh pemain gantian, Sath Rosib dengan keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut menjadi pemangkin semangat buat skuad negara untuk mengharungi aksi kedua menentang Laos di venue sama pada Khamis ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI