ALOR SETAR – Enam lagi pelajar di Maktab Mahmud Sik dekat sini hari ini disahkan positif Covid-19 bagi Kluster Dah Pelangi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, jumlah pelajar maktab tersebut yang dijangkiti Covid-19 sudah mencecah 30 orang.
“Setakat ini pihak berwajib telah menjalankan saringan terhadap 44 individu dengan 30 daripadanya didapati positif manakala 14 lagi negatif.
“Daripada jumlah itu, seorang pelajar masih berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Kulim manakala yang lainnya menjalani kuarantin di asrama sekolah tersebut dengan dipantau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Hayati berkata, sebelum ini seorang pelajar turut dirawat di Hospital Sik dan telah dibenarkan keluar pada 3 Disember lalu.
“Secara keseluruhannya kita menjangkakan kluster ini akan berakhir pada 2 Januari depan,” katanya. – K! ONLINE