JITRA – Empat lelaki disyaki ahli Geng Man Muncung yang aktif melakukan jenayah pecah kedai di daerah Kubang Pasu sejak Ogos lalu ditahan pada Khamis lepas.
Kesemua suspek berusia antara 14 hingga 33 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas memecah sebuah kedai runcit di Pekan Ayer Hitam dekat sini kira-kira pukul 2 pagi.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kumpulan penjenayah tersebut melarikan beberapa barangan termasuk wang tunai RM4,250 dari kedai berkenaan sebelum disedari pemilik premis kira-kira pukul 8 pagi.
“Siasatan dilakukan membawa kepada penangkapan keempat-empat suspek di Taman Pulasan di sini dan berhadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar antara pukul 8.45 malam hingga 10.30 malam hari sama.
“Seorang daripada mereka merupakan pelajar berusia 14 tahun manakala tiga yang lain adalah penganggur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.
Menurutnya, antara barangan yang dirampas dalam tangkapan tersebut adalah sepasang sarung tangan, lima telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu yang disewa mereka. – K! ONLINE