PETALING JAYA – Penternak ayam mendakwa faktor ‘orang tengah’ mengambil keuntungan atas angin dan kenaikan harga dedak antara punca harga ayam dijual mahal di pasaran ketika ini.
Penternak ayam di Masjid Tanah, Melaka, Ahmad Amirul Asraf, 34, berkata, tindakan ‘orang tengah’ memborong stok ternakan itu menyebabkan pusat pemprosesan ayam terpaksa membeli daripada mereka.
“Masalah kenaikan harga ayam bukan kerana kekurangan bekalan, tetapi disebabkan orang tengah. Import ayam dari luar negara hanya akan menjejaskan penternak tempatan.
“Sebagai contoh penternak jual RM6 sekilogram kepada orang tengah dan mereka (orang tengah) pula jual kepada pusat pemprosesan sehingga RM7 sekilogram. Pusat pemprosesan tetap ambil kerana sudah ada pelanggan.
“Apabila ayam proses sampai ke kedai harganya sudah meningkat kepada RM8.20 sekilogram, maka penjual terpaksa menjual kepada orang ramai lebih RM9 sekilogram untuk dapat keuntungan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan akan mengkaji semua rantaian ‘orang tengah’ yang dilihat turut menyumbang kepada kenaikan harga barangan yang dirasakan terlalu mendadak.
Tambah Ahmad Amirul, sekiranya pusat pemprosesan mengambil ayam secara terus daripada penternak tanpa melalui orang tengah, harga ternakan itu di pasaran boleh dijual lebih murah lagi.
Dalam pada itu, katanya, kenaikan harga dedak turut menyumbang kepada peningkatan kos menternak ayam.
“Saya sendiri guna 15 tan dedak sebulan. Satu guni 50 kilogram (kg) dedak ayam kini lebih RM115 sedangkan sebelum ini sekitar RM78 hingga RM80 satu guni. Bawah RM100 kita boleh rendahkan harga ayam,” ujarnya.
Keluhan yang sama disuarakan seorang penternak ayam di Negeri Sembilan yang mahu dikenali sebagai Japh, 45, yang memberitahu orang tengah mendapat keuntungan ‘atas angin’ dengan membeli ayam hidup daripada penternak dan menjualnya kepada pusat pemprosesan.
“Harga mungkin dapat diturunkan jika pusat pemprosesan dapat meminimumkan kos operasi mereka dan membeli terus daripada penternak,” uajrnya.
Di Kedah, Setiausaha Persatuan Penternak Ayam negeri, P. Ravintharan berkata, kenaikan harga dedak sehingga RM40 bagi satu beg seberat 50kg menekan penternak ayam yang terpaksa mengeluarkan kos tinggi.
Katanya, selepas tertekan dengan pandemik Covid-19 sehingga ada yang terpaksa gulung tikar, kini rata-rata penternak kecil terpaksa berdepan dengan kenaikan kos makanan ternakan.
“Kekurangan ayam tempatan di pasaran ketika ini ekoran wabak disebabkan masalah penyakit sehingga menyebabkan ayam ternakan mereka tidak menjadi.
“Selain itu, harga dedak ayam juga turut menekan mereka apabila naik dari RM85 untuk satu beg seberat 50 kilogram (kg) kepada RM125 satu beg seterusnya menyebabkan kos penternakan meningkat,” ujarnya.
Ravintharan berkata, purata keuntungan yang diperolehi penternak ayam hanyalah RM1 bagi seekor ayam.
Sementara itu, di Kelantan, seorang penternak di Kampung Telaga Papan Pasir Puteh, Mohd. Zaid Ismail, 60, berkata, lambakan ayam beku pastinya memberi persaingan kepada pengusaha kecil bumiputera untuk bersaing dengan pasaran antarabangsa.
“Perniagaan kami boleh lingkup pada bila-bila masa jika penjualan ayam beku secara besar-besar berlaku.
“Apa yang harus dilakukan kerajaan adalah menangani krisis kenaikan harga dedak dengan berkesan. Harga ayam di luar negara murah kerana dedak yang dibekalkan kepada ternakan dibeli pada harga yang murah,” luahnya.