MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan menjadi lebih mencabar selepas pasukannya berjaya merampas takhta sebagai pendahulu liga.
The Citizens memintas kedudukan Chelsea dan Liverpool sebagai pendahulu selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Watford pada perlawanan yang berlangsung di Vicarage Road awal pagi semalam.
Dua gol menerusi Bernardo Silva serta satu jaringan Raheem Sterling kembali meletakkan City pada landasan terbaik untuk mempertahankan kejuaraan g dimenangi musim lalu.
“Satu kemenangan serta corak permainan yang sangat baik ditampilkan oleh semua pemain. Saya gembira kerana kami kembali mendapatkan rentak sama seperti dua bulan lalu.
“Hari ini (semalam) satu pasukan (Chelsea) tercicir mata, mungkin minggu depan giliran kami atau Liverpool. Apa sahaja boleh berlaku dalam saingan sukar seperti EPL,” katanya.
Menyedari jadual padat bakal diharungi sepanjang bulan ini, pengendali dari Sepanyol itu mahu semua pemainnya memberikan fokus 100 peratus selain berharap mereka dapat mengelak daripada mengalami kecederaan tidak diingini.
“Selepas ini kami akan berdepan jadual yang cukup padat dan sukar. Keadaan semasa seperti cuaca serta kecederaan pemain boleh memberi kesan, namun saya harap kami boleh teruskan rentak permainan seperti ini,” ujar Guardiola. – AGENSI