fbpx

Caprice nak isteri bertudung kerana Allah, bukan netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI suami, Caprice mengakui sudah menegur isterinya berhubung isu aurat.

PETALING JAYA – Menjawab tohmahan ramai berkenaan aurat isterinya, penyanyi rap dan akvitis kemanusiaan, Caprice mendedahkan, sebagai suami dia sudah melunaskan tanggungjawabnya dengan membuat teguran secara peribadi.

Pemilik nama lengkap Ariz Ramli itu berkata, dia bagaimanapun tidak mahu isterinya Farra Inalis, 26, atau Elis berubah kerana memenuhi kehendak atau paksaan manusia.

“Banyak soalan menerusi direct message (DM) dan komen ‘taknak tegur bini ke?’. Saya dah tegur.

“Saya tidak memaksa apa-apa atau sesiapa sebab saya sendiri ada banyak kelemahan. Saya tidak mahu dia (isteri) berubah kerana saya, netizen atau orang awam.

“Saya nak dia berubah kerana Allah,” katanya menerusi satu hantaran status terbaharu Instagram.

Caprice yang mahu dikenali sebagai Daddycap juga cukup memahami situasi isterinya apabila terpaksa menyesuaikan diri dengan dunia glamor selepas berkahwin dengannya.

“Susah untuk dirinya sejak dia masuk dalam dunia saya tetapi insya-Allah, saya berharap suatu hari dia mengerti.

“Sejak akhir-akhir ini, saya banyak bagi contoh artis seperti Zizi Kirana, Fazura, Izara untuk memberi inspirasi kepada dirinya buat perubahan dan bakar semangat dia.

“Semalam, kami gaduh sikit sebab dia soal kenapa saya jarang muat naik gambar dengan dia di Instagram. Saya cakap saya akan muat naik (gambar) kalau dia dah berhijab. Nasib baik tak tidur sofa,” katanya berseloroh.

Caprice bagaimanapun menghargai semua teguran dan doa orang ramai berkenaan aurat isterinya.

“Insya-Allah kalian semua, saya sangat menghargai mereka yang memberi nasihat buat saya menerusi DM dan saya akan cuba sedaya upaya untuk menjadi suami dan bapa yang baik,” katanya yang bakal melancarkan single terbaharu berjudul Ayah pada 12 Disember ini.

Terdahulu, ramai dalam kalangan netizen mempersoalkan aurat isterinya yang sering berpenampilan seksi terutama dalam media sosial sehingga menjemput kecaman hebat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI