DUNGUN – Pejabat Daerah dan Tanah Dungun menafikan dakwaan tentang kewujudan aktiviti pembuangan sisa berjadual di sebuah tanah milik kerajaan di Paka di sini yang tular di media sosial baru-baru ini.
Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, beliau dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah bergegas melawat lokasi kejadian bagi menyiasat kesahihan dakwaan tersebut semalam.
“Kita telah melawat lokasi seperti yang didakwa berlaku aktiviti pembuangan berjadual di tanah milik kerajaan yang terletak di Paka. Hasil pemerhatian mendapati sebenarnya tidak ada pun pembuangan sisa berjadual seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Anuar berkata, siasatan lanjut bagaimanapun mendapati kawasan terbabit sebenarnya pernah diceroboh pada tahun lalu oleh pihak yang mahu mengusahakan ternakan ikan sangkar.
Jelas beliau, permohonan untuk memajukan tanah itu pernah dihantar kepada Unit Perancang Ekonomi (UPEN) Terengganu namun masih belum diluluskan sehingga kini.
“Kita pernah mengeluarkan notis amaran kepada pihak tersebut agar tidak menceroboh lagi tanah tersebut,” katanya.
Sebelum ini, tular di sebuah laman Facebook mendakwa kononnya berlaku pembuangan sisa berjadual di tanah kerajaan tersebut.
Ia turut menarik perhatian Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang kemudiannya telah mengarahkan JAS untuk melakukan siasatan lanjut. – K! ONLINE