fbpx

Berniaga di kaki lima cari duit bina sekolah pondok OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohammad Saad (kiri) melayan seorang pelanggan membeli kerepek ketika ditemui di Taman Melawati baru-baru ini.

PETALING JAYA – Sering dicemuh dan dihalau kerana dianggap sebagai pembawa malang, tekad seorang lelaki yang menghidap penyakit cerebral palsy sejak kecil tetap tidak berubah iaitu mencari rezeki sendiri untuk satu cita-cita murni.

Mohammad Saad Habrizal, 38, terus menggagahkan diri berniaga pelbagai jenis kerepek semurah RM5 di kaki-kaki lima sekitar ibu negara kerana mahu hidup tanpa ihsan orang lain.

Menurut Mohamad Saad, kerepek itu dibeli secara borong sebelum dibungkus semula dalam pek kecil untuk dijual.

Katanya, dia sudah lali apabila sering dihina dan dipandang rendah oleh masyarakat sekeliling kerana kekurangan diri dan miskin.

“Saya perlu cari duit bagi menampung kehidupan seharian saya. Sebelum ini ada dapat bantuan tetapi dihentikan atas sebab-sebab tertentu.

“Tidak mengapa kerana saya malu untuk menerima sumbangan dan biar saya cari wang sendiri. Saya sudah lali dengan cacian dan cercaan, namun yakin rezeki Allah itu luas jika kita sentiasa berusaha,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Tambahnya, nasibnya bertambah malang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan apabila tidak dapat bergerak bebas berniaga dan hanya dikunjungi beberapa pelanggan tetap.

Menurut Saad, dia juga berdepan dengan sikap nakal sesetengah orang yang suka ­menganiaya dan mengambil ke­sempatan di atas kekurangan dirinya.

“Ada orang ambil kerepek tanpa bayar, saya dihalau kerana mereka malu dengan keadaan saya yang dianggap sebagai pe­minta sedekah dan macam-macam lagi keburukan yang dilemparkan kepada saya,” kata­nya yang masih bujang.

Ujar Mohammad Saad, walaupun begitu, dia tidak pernah memarahi mereka kerana beranggapan ia adalah ujian.

“Saya mempunyai satu impian iaitu mahu membuka sekolah pondok khusus untuk kemudahan orang kelainan upaya menimba ilmu. Saya menyimpan sedikit demi sedikit hasil jualan kerepek bagi membangunkan sekolah itu,” katanya yang menetap di rumah kakaknya di Keramat, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, Mohammad Saad meminta orang ramai yang ingin membuat tempahan kerepek boleh menghubunginya di talian, 019-230 3539 atau menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya di 14041020280800.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI