YANGON, MYANMAR – Presiden parti Liga Demokrasi Nasional (NLD), Aung San Suu Kyi hari ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas kesalahan menghasut bagi menentang junta tentera dan melanggar peraturan Covid-19.
Jurucakap junta tentera, Zaw Min Tun berkata, bagi kesalahan menentang tentera, Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara dua tahun.
“Hukuman penjara dua tahun lagi adalah bagi kesalahan melanggar undang-undang bencana alam berkaitan Covid-19,” katanya.
Sementara itu, bekas Presiden Myanmar, Win Myint, turut dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas dakwaan yang sama.
“Mereka akan berdepan dengan beberapa dakwaan lain dari lokasi di mana mereka berada sekarang,” kata Min Tun yang merujuk kepada pusat tahanan kedua-dua pemimpin tersebut di bandar Naypyidaw.
Suu Kyi, 76, sebelum ini ditahan sejak insiden rampasan kuasa oleh tentera yang menggulingkan kerajaan pimpinannya pada 1 Februari lepas.
Beliau semenjak itu disabitkan dengan beberapa siri dakwaan termasuk melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Dalam pada itu, Suu Kyi turut berdepan dengan beberapa dakwaan rasuah, di mana setiap satu daripadanya boleh membawa hukuman penjara 15 tahun.
“Keputusan mahkamah hari ini merupakan satu bentuk hukuman ringan yang mana pemerintahan junta sebenarnya boleh membebaskan beliau (daripada hukuman), namun mereka memilih untuk tidak melakukan demikian.
“Rejim tentera nampaknya telah meningkatkan penindasan mereka terhadap NLD dan Suu Kyi sendiri,” kata penganalisis bebas, Soe Myint Aung. – AFP