fbpx

600 pokok durian musang king dimusnahkan di Raub

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pokok durian musang king yang ditanam di Hutan Simpan Teras ditebang dalam Operasi Teras di Raub hari ini

RAUB – Kedegilan individu yang terus menceroboh hutan simpan bagi menanam durian musang king membawa padah apabila lebih 600 pokok durian musang king yang ditanam di Hutan Simpan Teras dimusnahkan.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, Operasi Teras yang dilakukan hari ini melibatkan kawasan hutan simpan seluas empat hektar dipercayai diteroka secara haram lebih dua tahun lalu.

“Pokok durian musang king berusia setahun hingga dua tahun itu dimusnahkan dengan cara menebang menggunakan parang dan mesin gergaji berantai, kawasan bukit dan laluan curam antara cabaran yang terpaksa dihadapi.

“Nilai 600 pokok durian musang king yang dimusnahkan dalam operasi selama lima jam melibatkan 25 kakitangan itu dianggarkan lebih RM30,000,” katanya di sini hari ini.

Menurut Shahril, pihaknya berjaya mengesan kawasan berkenaan selepas melakukan rondaan serta semakan menggunakan sistem e-Geoformatik Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 26 November lalu.

Katanya, hasil siasatan dilakukan mendapati kegiatan penerokaan kawasan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki yang menggunakan beberapa pekerja warga asing.

Dalam pada itu beliau berkata, sepanjang tahun ini Pejabat Hutan Daerah Raub telah melakukan lima operasi membanteras penerokaan hutan simpan secara haram membabitkan kawasan seluas kira-kira 142.7 hektar.

Katanya, Operasi Pamah Hutan Simpan Batu Talam pada Julai lalu merupakan kemuncak ketegasan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menyaksikan kira-kira 15,000 pokok durian musang king dimusnahkan membabitkan kawasan seluas 101 hektar.

“Operasi Teras hari ini merupakan yang ke enam dilakukan pada tahun ini, tindakan sama akan dilakukan secara berterusan tahun depan dalam memastikan kegiatan menceroboh hutan simpan secara haram tidak berulang.

“Kita akan mengadakan program menanam pokok balak di kawasan ini bermula esok dengan sebanyak 1,500 pokok pelbagai jenis akan ditanam yang mengambil masa beberapa hari,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI