KOTA BHARU – Polis menahan 40 individu termasuk lima wanita selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam Ops Bersepadu di sekitar Bachok semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, kesemua yang ditahan itu berusia antara 17 hingga 48 tahun selepas mereka disyaki terlibat dengan penagihan dan pengedaran dadah.
Katanya, dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok itu, pihaknya turut merampas sebanyak 1,538 biji pil kuda ,0.2 gram heroin, empat kilogram daun ketum.
“Selain itu, kita turut merampas sebanyak 93.3 liter air daun ketum dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM16,373.
“Daripada kesemua suspek yang ditahan, seramai 20 orang ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 memiliki dadah.
“Selain itu, ada juga yang ditahan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, beberapa suspek ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 selepas dipercayai memiliki daun ketum. – K! ONLINE