LAHAD DATU – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi di Jalan Silam berhampiran Taman Harapan semalam.
Dalam operasi pukul 5.20 pagi itu, semua PATI berkenaan membabitkan dua lelaki, tujuh wanita dan dua kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 46 tahun.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, Batalion 17 PGA Lahad Datu menahan sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu Bighorn selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Kenderaan terbabit dipercayai digunakan untuk mengambil sebahagian PATI yang baru menyelinap masuk ke negara ini.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dinaiki 11 warga Indonesia terdiri dua lelaki, tujuh wanita dan dua kanak-kanak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tamabhnya, hasil pemeriksaan lanjut, semua individu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai baru memasuki negara ini melalui jalan yang diwartakan.
“Semua warga asing terbabit terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abdul Rani berkata, semua PATI yang ditahan turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan hasil pemeriksaan disahkan negatif. – K! ONLINE