PETALING JAYA – Selepas Daiyan Trisha, penyanyi dan juga pelakon Wani Kayrie menjadi selebriti terbaharu dijangkiti wabak Covid-19.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Wani atau nama lengkapnya Syazwani Abdullah, 21, menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya.
“Setiap perkara yang berlaku ini pasti ada hikmah. Dukacita saya disahkan positif Covid-19.
“Mohon doakan saya. Setakat ini, saya perlu menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari mengikut nasihat doktor,” ujarnya.
Katanya lagi, dia disahkan positif Covid-19 selepas mengalami gejala demam panas, sakit kepala, batuk, selesema dan juga sakit tekak.
Bagaimanapun, Wani yang bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Jangan Terlepas Pandang bersyukur apabila dia masih mempunyai deria bau dan rasa.
“Antara gejalanya adalah demam panas, sakit kepala, batuk, selesema dan sakit tekak. Alhamdulillah deria bau dan rasa masih ada. Tapi sakit dia teramat sakit. Tak tipu,” katanya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram.
Dalam hantaran itu juga, Wani masih sempat mengingatkan kepada semua pengikutnya di media sosial untuk menjaga keselamatan diri dan berhati-hati.
“Jagalah diri sebaik mungkin. Kita cuba dan ikhtiar apa yang mampu,” katanya tanpa memperincikan kontak rapat atau punca jangkitan virus tersebut.
Semalam, pelakon Daiyan Trisha turut mengesahkan bahawa dia juga telah dijangkiti wabak maut itu selepas menjadi kontak rapat seseorang dalam satu produksi.
Daiyan atau nama lengkapnya, Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin memaklumkan, pada mulanya ujian calitan yang dilakukannya berstatus negatif namun malangnya, dia disahkan positif virus tersebut sehari kemudian. – K! ONLINE