KOTA BHARU – Sistem amaran digital akan diletakkan di semua kawasan berisiko tinggi dan lokasi yang dijangka berlaku kejadian tanah runtuh untuk memberi amaran awal kepada masyarakat.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain itu, penggunaan siren juga akan dilaksanakan secara meluas di semua lokasi termasuk di kawasan yang tiada penempatan penduduk.
Menurutnya, antara kawasan yang sudah diletakkan sistem itu termasuk di Gunung Jerai, Kedah, beberapa lokasi di Sabah dan kawasan tanah tinggi termasuk Cameron Highlands, Pahang.
“Kita belum menyemak sama ada kawasan berlaku tragedi tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands baru-baru ini sudah mempunyai sistem amaran awal ini atau tidak.
“Secara umumnya, Jabatan Mineral dan Geosains yang mempunyai peta tapak lokasi berisiko tinggi akan menjalankan kajian sebelum mereka bersama jabatan lain termasuk Jabatan Perhutanan menguruskan sistem berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia Peringkat Parlimen Kota Bharu di sebuah hotel di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 76 pelajar cemerlang dari sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan Kementerian Pendidikan menerima sijil penghargaan serta wang tunai sumbangan kerajaan negeri.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, selain sistem amaran awal, kementerian ketika ini sedang giat menjayakan kempen kesedaran kepada rakyat mengenai bahaya berada di kawasan berisiko tinggi.
“Kita tidak mahu alat itu ada, namun tiada kesedaran. Sebaliknya gabungan dua perkara itu diharap dapat menangani isu tanah runtuh,” ujarnya.
Baru-baru ini, dua lelaki dilaporkan maut selepas kenderaan masing-masing tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. -K! ONLINE.