fbpx

Seorang insan yang sebahagian kehidupan saya ‘terhutang’ kepadanya – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster ucapan takziah yang dimuat naik Ismail Sabri di laman Facebooknya.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan pemergian sifu dan mentor politiknya, Tan Sri Sabaruddin Chik sebentar tadi adalah kehilangan besar bukan sahaja buat dirinya malah kepada negara.

Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya berkata, Allahyarham adalah episod penting bagi sejarah perjuangannya dan selamanya menjadi kenangan serta ingatan.

“Sedih dan duka apabila menerima perkhabaran, sifu dan mentor politik saya, Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin bin Chik telah meninggalkan kita semua selama-lamanya.

“Tan Sri meninggal dunia sekitar pukul 8 malam ini setelah seminggu dimasukkan ke hospital di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM),” katanya di laman Facebook.

Menurut Ismail Sabri, ketika dia berusia 27 tahun, Allahyarham telah melantiknya sebagai ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh pada tahun 1987, sebelum dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh beberapa bulan selepas itu.

Katanya, pada tahun 1995, beliau memulakan karier politik dengan memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik kepada Allahyarham.

“Ketika itulah, banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya peroleh berkat tunjuk ajar Allahyarham.

“Sesungguhnya Allahyarham seorang yang amat berdisiplin dan menepati waktu, malah sangat tekun dan berwibawa dalam melaksanakan amanahnya untuk rakyat dan negara.

“Segala ilmu dan tunjuk ajar Allahyarham, tidak pernah saya lupakan dan akan saya kenang sepanjang kehidupan ini,” ujar beliau.

Pada masa sama, Ismail Sabri berdoa agar seluruh ahli keluarga diberikan ketabahan menerima kehilangan besar ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Marilah kita semua sama-sama menghadiahkan surah al-Fatihah buat Allahyarham Tan Sri Sabbaruddin Chik, Al-Fatihah,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan Sabbaruddin, 80, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sejak seminggu lalu bagi menjalani kuarantin selepas disahkan positif Covid-19.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI